Followers

Thursday, September 10, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 10


ini merupakan bab terakhir yang akan Hana upload di blog. untuk tahu kesudahan kisa Tengku Elman dan Iryani, boleh lah dapatkan VCK di pasaran September ini. Boleh order secara online atau dapatkan di pasaran. 





KEHADIRAN Azlina mengundang seribu persoalan kepada Tini namun Tini terus sahaja membuka pintu pagar Vila Indah. Dia malas mahu menyoal. Tini mempersilakan Azlina untuk duduk di ruang tamu sementara dia memanggil Tengku Elman di biliknya.
Azlina tersenyum seraya duduk. Beg kertas yang dibawa bersama diletakkan di atas meja.
Azlina?” sapa satu suara.
Azlina pantas berpaling. Wajah Puan Sri Halimah menghiasi pandangannya. “Puan Sri.”
You buat apa dekat sini?” soal Puan Sri Halimah. Dia baru sahaja mahu berjumpa dengan Tengku Aryan. Ada sesuatu yang mahu dibincangkan dengan Tengku Aryan.
I datang nak jumpa Elman.” Azlina menghadiahkan senyuman kepada wanita itu.
Jumpa Elman?” soal Puan Sri Halimah. Matanya melorot ke beg kertas yang berada di atas meja. Kehadiran model IZ Holdings itu membuatkan dia pelik.
Sebenarnya, I baru balik dari Tokyo. I beli cenderahati untuk dia.” Azlina terus mengeluarkan salah-satu hadiah dari dalam beg kertas itu. “Untuk Puan Sri pun ada.”
Puan Sri Halimah mengerutkan dahinya. Kenapa pula dia harus dapat hadiah?
Azlina tersenyum manis. Walhal, hatinya berdetak hebat. Puan Sri Halimah terkenal dengan cerewetnya. Jadi, dia benar-benar takut jika Puan Sri Halimah bertindak memarahinya. Azlina menyerahkan sehelai kain sutera Jepun kepada Puan Sri Halimah.
Puan Sri Halimah pelik namun dia ambil saja kain itu. “Cantik.”
Azlina tersenyum tanda suka. “I memang pilih kain ni khas untuk Puan Sri.”
Azlina cuba memancing. Melihat cahaya wajah wanita itu, dia yakin wanita itu sudah jatuh dalam perangkapnya.
Puan Sri Halimah tersenyum dalam hati. Dia yakin Azlina tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga itu. Gadis itu seperti masuk dalam sangkar harimau.
Dehaman Tengku Elman membantutkan perbualan mereka. Azlina pantas berpaling ke arah Tengku Elman. Senyuman terukir serta-merta.
Hai, you.”
You buat apa dekat sini?” soal Tengku Elman.
Dia terperanjat sebenarnya saat Tini memaklumkan kedatangan Azlina. Bertambah terperanjat bila melihat Azlina berbual mesra dengan Puan Sri Halimah.
I datang nak bagi hadiah kat you. I dah bagi satu pada your mom. Your mom kata cantik.”
Tengku Elman mengerutkan dahi. “My mom?”
Azlina sempat mengerling ke arah Puan Sri Halimah.
Tengku Elman melihat ke arah kerlingan Azlina. Dia terus melepaskan keluhan kecil. Azlina sudah salah sangka tentang status dirinya dengan Puan Sri Halimah. Gadis itu masih tidak tahu tentang masalah keluarganya itu. Mana tidaknya, Tengku Azimudin akan lakukan apa sahaja agar hal keluarga mereka tidak diketahui orang luar. Mungkin sebab itu para wartawan tak akan lepaskan sebarang berita. Ada saja peluang untuk mereka ambil tahu tentang keluarga Tengku Azimudin.
Puan Sri Halimah mendengus. Gadis itu terlalu lurus.
Ni hadiah untuk you.” Azlina menyerahkan sesuatu berbentuk empat segi berwarna merah kepada Tengku Elman.
Tengku Elman mencapai hadiah itu. “Thanks.”
Azlina tersenyum manis.
So, you tunggu apa lagi kat sini? Yang lain untuk siapa?” soal Tengku Elman.
For your dad, your grandpa and others.”
You’re wasting your time.” Tengku Elman merengus.
Jom pergi.” Tengku Elman terus menarik lengan Azlina. Dia harus pergi dari rumah itu. Azlina bakal menyulitkan keadaan.
Puan Sri Halimah tersenyum penuh makna. Dia sedang merencana sesuatu. Dia dapat lihat sesuatu pada Azlina. Gadis itu sepertinya menyukai Tengku Elman. Dia akan gunakan gadis itu untuk jatuhkan Tengku Elman.
Bonda buat apa datang sini?” Soalan Tengku Aryan membuatkan Puan Sri Halimah tersentak.
Tengku Aryan baru sahaja pulang dari pejabatnya. Hari itu, dia balik awal memandangkan dia tidak berapa sihat.

MACAM mana progres kamu dengan si buta tu? Dah berjaya pikat dia?” soal Puan Sri Halimah.
Tengku Aryan melonggarkan tali lehernya. Dia malas mahu ambil pusing dengan bebelan Puan Sri Halimah.
Aryan, kamu dengar tak apa yang bonda tanya ni?” soal Puan Sri Halimah. Dia duduk bersilang kaki di sofa bilik anaknya.
Tengku Aryan buat tak dengar. Dia terus menghenyakkan dirinya ke atas katil. Dia pening kepala. Dia perlukan tidur.
Tengku Aryan Tengku Izudin, bonda tengah bercakap dengan kamu!” Puan Sri Halimah bangun dari duduknya sambil bercekak pinggang.
Bonda, Aryan penat. Aryan nak tidur,” pinta Tengku Aryan. Dia sudah berani melawan kata-kata Puan Sri Halimah.
Apa yang kamu buat sampai kamu penat sangat? Kamu balik pun awal hari ni.” Puan Sri Halimah mempersoalkan tindakan Tengku Aryan.
Buat apa yang bonda suruh,” ujar Tengku Aryan. Dia penat sebenarnya. Baru balik dari pejabat, kena dengar pula bebelan bondanya.
Riak Puan Sri Halimah berubah. Dia tersenyum. “Kalau macam tu, tak apalah kamu balik awal pun. Asalkan kamu buat apa yang bonda suruh.”
Tengku Aryan menarik nafas panjang. Tentu bondanya salah faham dengan ayat itu namun dia biarkan saja. Dia malas mahu membetulkan ayat itu.
Aryan rehatlah dulu. Biar segar. Nanti dapatlah pikat si buta tu.”
Tengku Aryan memejamkan matanya. Bila telinganya menangkap bunyi pintu bilik ditutup, dia membuka matanya. Dia kecewa dengan sikap ibunya. Dia dalam keadaan tidak sihat begitu pun Puan Sri Halimah masih memaksa dirinya untuk memikat Iryani. Tadi punyalah marah, bila dia kata buat apa yang bonda suruh, terus riak bondanya berubah. Kalaulah Puan Sri Halimah tahu maksud ayat itu, pasti wanita itu naik berang.
Tengku Aryan tersenyum kecil. Maksud Tengku Aryan dengan ayat itu adalah, bonda suruh ke pejabat, Aryan pergilah ke pejabat.

USAI kelas Cikgu Salina, Tini terus membawa Iryani ke dapur untuk minum petang. Tini turut mempelawa Cikgu Salina namun Cikgu Salina menolak. Cikgu Salina harus pulang segera kerana perlu membeli barang keperluan majlis perkahwinannya.
Tini mendudukkan Iryani di kaunter. Kemudian, dia terus masuk ke dapur untuk mengambil kuih petang itu. Piring yang berisi empat ketul karipap itu terus diambil lalu dia terus membancuh dua muk Milo. Setelah itu, dia meletakkan piring dan muk tersebut ke atas dulang lalu dibawa ke kaunter.
Nourishment is serve,” ujarnya seraya duduk bertentangan dengan Iryani.
Kuih?”
Karipap,” ujar Tini. Muk Milo Iryani ditolak ke arah Iryani.
Terima kasih,” ucap Iryani tatkala muk Milo itu diletakkan ke dalam genggaman tangannya.
Kau buat apa dekat sini?”
Sergahan daripada seseorang membuatkan suapan Iryani terbantut. Suara jejaka yang cukup dikenalinya itu membuatkan suapannya terhenti. Apa pulak yang aku dah buat kali ni? detik hati Iryani.
Aku tanya kau buat dekat sini?” tengking Tengku Elman apabila tiada jawapan yang diterima daripada Iryani.
Iryani tidak menyangka pula Tengku Elman berada di Vila Indah kerana seingatnya, Tini beritahu kepadanya Tengku Elman sudah keluar bersama teman wanitanya tadi.
Erk, saya tengah makan,” jawab Iryani, lambat-lambat. Karipap yang baru separuh digigit diletakkan kembali di piring.
Aku tahulah kau tengah makan. Aku tak buta macam kau. Aku tanya kau buat apa dekat sini? Kau tahu tak aku cukup tak suka tengok muka kau,” sambung Tengku Elman. “Bukan aku pernah cakap dengan kau dulu, aku memang boleh terima kau tinggal di sini tapi untuk jumpa kau setiap hari aku rasa macam nak gila!”
Iryani menundukkan wajahnya. Mengapalah lelaki itu seringkali membuatkan dia menangis? Apa salah dia sehingga membuatkan lelaki itu begitu marah kepadanya? Dia menggenggam tangannya menahan amarah. Titis-titis air mata menitis membasahi bajunya.
Tengku Elman!” Tini bersuara lantang. Dia yang sedari tadi berdiri di situ segera melawan.
Kenapa Tengku cakap macam itu? Ini kan rumah Tengku Azimudin. Tengku Azimudin yang benarkan dia duduk di sini. Kenapa pula Tengku Elman marahkan dia?” tempelak Tini. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh memperoleh keberanian untuk melawan anak Tengku yang sungguh ego itu.
Kau diam boleh tak? Suka hati akulah nak buat apa pun dengan dia. Aku cukup tak suka kalau dia ni ada depan mata aku.”
Kalau Tengku tak suka, Tengku boleh aje keluar dari rumah ni. Tengku pun selama ni bukannya selalu balik pun. Sejak kebelakangan ni aje, kan?” luah Tini. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap Tengku Elman.
Semenjak jejaka itu tamat persekolahan dan melanjutkan pelajaran di TASB, Tengku Elman tidak lagi menjejakkan kaki ke vila itu. Namun, selepas satu perbincangan yang panjang dengan Tengku Azimudin, jejaka itu kembali ke vila tersebut.
Tini!”
Teguran Mak Kiah membuatkan Tini mengetap bibirnya. Dia sedar dia sudah terlanjur kata. Tini segera menoleh ke arah Mak Kiah. Wajah Mak Kiah yang memucat itu membuatkan Tini terus terdiam. Pandangannya dikalih daripada terus memandang ibunya atau Tengku Elman.
Mak tak ajar pun anak mak biadab macam ni,” kata Mak Kiah.
Elman ni mak, melampau sangat. Dia tak patut cakap Iryani macam tu,” adu Tini. Suaranya mulai mengendur.
Kalau macam tu sekalipun, bukan ini caranya untuk selesaikan masalah,” ujar Mak Kiah seraya meletakkan mangkuk berisi lauk makan malam di atas meja makan.
Elman dah makan?” Lembut Mak Kiah menyoal.
Tini mencebik. Sikap Mak Kiah yang selalu membela cucu Tengku Azimudin itu membuatkan dia geram. Dia sedar, keluarga Tengku Azimudin banyak membantu dirinya dan keluarganya. malah pelajarannya di TASB dibiayai sepenuhnya oleh Tengku Azimudin, tetapi itu tidak bermakna Tengku Elman boleh melakukan semua benda sesuka hatinya.
Saya dah tak ada mood nak makan,” ujar Tengku Elman seraya berlalu meninggalkan tempat tersebut.
Sengaja dia melanggar piring yang berdekatan dengan Iryani. Serentak itu, piring tersebut berderai mencecah lantai.
Iryani tersentak dengan bunyi tersebut. Dia segera bangun. Malang baginya tatkala dia bangun, kakinya menjadi mangsa kaca-kaca tersebut. Iryani terduduk menahan sakit. Darah yang mengalir di kakinya membuatkan Tini segera berlari mendapatkan Iryani.
Mak Kiah turut tidak ketinggalan. Perlahan-lahan wanita tua itu menggeleng. Pandangannya jatuh kepada wajah Iryani.
Sakit,” lirih Iryani sebaik sahaja Tini mengusik kaca yang telah tertanam ke dalam kaki Iryani.
Maaf.” Tini lekas meminta maaf. Dia segera menilik kaki itu.

TENGKU ELMAN menghempas pintu biliknya sekuat yang boleh. Hatinya dilanda rasa geram yang teramat sangat. Entah kenapa semenjak Iryani hadir ke rumah itu, dia sering dilanda perasaan geram dan marah. Sepasang mata milik Iryani itu membuatkan dia sangat membenci Iryani walaupun sepasang mata itu tidak dapat berfungsi.
Hempasan pintu yang kuat itu menarik perhatian Tengku Azimudin. Tengku Azimudin yang sedang khusyuk meneliti dokumen mengenai perjanjian usahasama dengan Emerald Empire terperanjat.
Apa yang berlaku, Osman?” soal Tengku Azimudin. Dokumen perjanjian antara IZ Holdings dan Emerald Empire ditutup lalu diletakkan ke tepi.
Biasalah anak muda. Pantang berjumpa, pasti ada aje perselisihannya,” kias Pak Cik Osman.
Apalah masalah si Elman tu sampai berperangai macam tu sekali?” keluh Tengku Azimudin.
Pak Cik Osman hanya menggeleng. Dia tidak berani menjawab walhal dia sudah dapat mengagak apa yang bermain dalam minda Tengku Elman. Pak Cik Osman tahu, Tengku Elman sangat mendendami Tengku Azimudin, cuma Tengku Azimudin sahaja yang tidak tahu.
Bunyi batuk bertalu-talu daripada Tengku Azimudin membantutkan lamunan Pak Cik Osman. Pak Cik Osman segera menghampiri Tengku Azimudin. Lelaki itu terbatuk-batuk menahan sesak di dada. Diusap-usapnya bahagian dada Tengku Azimudin agar sistem pernafasan majikannya itu kembali pulih. Pak Cik Osman terus memberikan Tengku Azimudin segelas air berserta ubat.
Tengku Azimudin pantas meneguk air mineral tersebut. Setelah itu, dia tersandar di kerusi seraya tercungap-cungap mencari udara. Penyakit jantungnya hampir-hampir sahaja menyerang.
Tengku, bawa-bawalah berehat. Hari dah nak malam ni. Dari tadi saya tengok Tengku leka buat kerja. Tengku, ingat lagi tak pesan Dr. Yazid? Kan Dr. Yazid suruh Tengku banyakkan rehat.” Pak Cik Osman mengingatkan. Wajah tua yang sudah ditemaninya semenjak muda lagi itu ditatap.
Saya bukannya tak nak rehat, Osman. Kalau saya rehat, siapa pulak yang nak buat kerja saya ni,” luah Tengku Azimudin.
Biarpun telah dinasihatkan oleh Dr. Yazid, doktor peribadi keluarga itu, Tengku Azimudin tetap berdegil. Sikap tidak percaya kepada orang lain dalam hal kerja membuatkan lelaki itu sebolehnya mahu menyelesaikan hal-hal kerja sendirian.
Tapi Tengku kena jaga kesihatan Tengku. Kalau Tengku terus buat kerja tak ingat dunia macam ni, Tengku jugak yang susah,” luah Pak Cik Osman lagi.
Dia tidak mahu Tengku Azimudin memenatkan badannya dengan urusan kerja. Pada Pak Cik Osman, lelaki yang seusia Tengku Azimudin selalunya sudah duduk di rumah dan menimang cicit.
Saya tak senang kalau tak buat kerja. Lagipun, kalau bukan saya yang buat kerja-kerja ni, siapa lagi? Nak harapkan budak-budak kat pejabat tu? Lagilah mustahil.”
Pak Cik Osman terdiam seribu bahasa. Dia tidak tahu bagaimana mahu membalasnya. Majikannya itu memang degil orangnya. Tak pernah mahu mendengar nasihat orang lain. Yang ditahunya, hanyalah apa yang difikirkannya.
Iryani macam mana hari ni?” soal Tengku Azimudin. Dia baru teringat perihal Iryani. Hari ini, merupakan hari pertama Iryani tanpa Aniqah.
Baik-baik aje, Tengku,” ujar Pak Cik Osman.
Dia tidak mahu membebankan otak Tengku Azimudin dengan masalah Iryani pula. Tengku Azimudin sudah terlalu sibuk memikirkan perihal keluarganya dan dia tidak mahu Tengku Azimudin terbeban lagi dengan masalah Iryani. Bukannya dia tidak tahu apa yang sudah Tengku Elman lakukan kepada Iryani.
IRYANI hanya diam di atas katil. Kebebasan untuk bergerak makin tersekat akibat luka di kakinya.
Awak jangan banyak bergerak. Luka awak tu dalam juga. Kalau awak banyak bergerak saya takut luka tu berdarah balik.” Tengku Aryan masih tidak lekang menilik balutan di kaki Iryani. Mujurlah dia pernah belajar serba sedikit cara merawat luka.
Terima kasih, Tengku. Mujur Tengku ada. Kalau tak, tak tahulah macam mana,” ujar Tini. Dia mengambil tempat di sebelah Iryani. Rambut Iryani yang terurai menutup wajahnya diselak ke belakang telinga.
Tini sibuk mengintai luka Iryani. Mujurlah dia terserempak dengan Tengku Aryan semasa dalam perjalanan ke bilik bacaan Tengku Azimudin.
Tak apa. Hal kecil aje. Macam mana boleh luka?” Tengku Aryan ingin tahu.
Sebenarnya...”
Tak ada apa. Saya cuma tak perasan ada kaca dekat situ. Sedar-sedar aje dah sakit,” celah Iryani. Dia tidak mahu Tini menyalahkan Tengku Elman. Mungkin juga Tengku Elman sendiri tidak perasan kedudukan piring itu.
Tini mendengus kasar. Dia tidak suka bila Iryani cuba membela Tengku Elman. Hatinya panas mendengar kata-kata Iryani. Tini terus ke ruang yang menempatkan air mineral. Air itu dituangkan ke dalam sebuah gelas.
Nah. Minum dulu. Lepas ni boleh terus tidur,” ujar Tini seraya menghulurkan gelas air tersebut.
Terima kasih,” ujar Iryani sambil tersenyum.
Aryan, terima kasih sebab sudi balutkan luka kaki saya,” ucap Iryani. Tangannya mengurut-ngurut kaki kirinya yang cedera.
Tak ada apalah. Hari pun dah malam ni. Saya minta izin dulu. Nanti tak perlu turun makan malam. Saya bawakan untuk awak.” Tengku Aryan mengukir senyuman manis. Sejurus itu, jejaka berusia 26 tahun itu segera bangun daripada duduknya.
Tapi nanti apa pulak atuk fikir kalau saya tak turun makan?” Iryani mulai risau.
Jangan risau. Nanti pandailah saya nak bagi alasan. Awak rehat aje dulu,” ujar Tengku Aryan seraya mengukir senyuman. Tangannya lembut mengusap ubun-ubun Iryani.
Tini mengangguk perlahan.
Tengku Aryan mengukir senyuman kecil lantas meminta diri untuk pulang ke biliknya.
Sebaik sahaja kelibat Tengku Aryan menghilang daripada pandangan, Tini terlompat kegirangan.
Handsomenya dia,” puji Tini. Kedua-dua belah tapak tangannya diletakkan di pipi. “Untungnya siapa yang dapat...”
Ehem.”
Deheman Iryani membuatkan Tini tersentak daripada lamunannya.
Kenapa?” soal Tini, bingung. Dia segera mengambil gelas minuman Iryani lalu dibawa ke singki untuk dibasuh.
Handsome sangat ke dia?” Iryani ingin tahu.
Sangat. Hehehe... Tapi sayang biar berapa ramai pun wanita yang minat pada dia, Dia tetap tak pandang.” Tini bercerita.
Kenapa dia tak pandang? Dia tu... mmm... gay ke?” Takut-takut Iryani menyuarakan pendapatnya.
Isy... ke situ pulak Cik Iry ni. Taklah. Dia bukan gay tapi dia tu tak berminat dengan perempuan lain selain daripada kekasih dia.”
Kekasih dia? Siapa?”
Entahlah. Dengar cerita, kekasih dia ada dekat luar negara. Kalau tak silap, perempuan tu satu jurusan dengan dia. Medic. Kalau tak silap, junior dia.”
Iryani mengangguk beberapa kali. Barulah dia mengerti maksud Tini. Eh, kejap. Medic?
Eh, dah lewat ni. Saya nak tolong mak saya kat dapur dulu.” Tini meminta diri ke dapur. Sudah menjadi kebiasaannya akan menolong ibunya menyiapkan makan malam.
Tak apalah. Awak pergilah bantu Mak Kiah. Kasihan pulak dekat dia nanti,” ujar Iryani.

TENGKU ELMAN hanya melihat dari sebalik pintu Iryani. Dia baru sahaja mahu keluar. Rasa bersalah menyerbu dirinya saat melihat kaki Iryani yang sedang berbalut. Dia sama sekali tidak menyangka gadis itu akan mengalami luka dengan tindakannya. Niatnya cuma sekadar mahu memberontak, tidak sangka pula kaki Iryani yang menjadi mangsa.
Tengku Elman segera kembali ke biliknya. Laci-laci di meja belajarnya dibuka. Dia tersenyum saat menjumpai barang yang dicarinya. Sebuah kotak kayu milik ibunya dikeluarkan. Setelah itu, dia mengambil keputusan untuk keluar mencari sesuatu. Kunci kereta diambil lalu perlahan-lahan dia menyelinap keluar dari vila itu.


No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<