Followers

Sunday, September 6, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 7






BETUL ke apa yang saya dengar?” Tengku Aryan meminta kepastian. Wajah Iryani ditatapnya lama. Sinaran bulan yang menyinari malam itu membuatkan wajah Iryani kelihatan berseri-seri. Iryani mengingatkannya kepada seseorang.
Maaf sebab buat awak terperanjat dengan tindakan saya tadi,” pohon Tengku Aryan apabila Iryani masih terus berdiam diri.
Tengku Aryan mengetap bibirnya. Tindakannya sebentar tadi adalah refleks memandangkan dia juga turut terperanjat tatkala kelibat Iryani muncul saat dia mencuri dengar panggilan seseorang.
Apa yang Tengku Aryan dengar?” Iryani menyoal Tengku Aryan kembali. Kedinginan malam yang menghembus membuatkan Iryani menggigil kesejukan.
Tak payah bertengku. Kita ni dah macam saudara. Awak kan cucu angkat atuk. Panggil nama saya sudah. Tapi kalau awak nak panggil saya abang pun tak apa,” usik Tengku Aryan.
Iryani mengerutkan dahinya. Aisy, buang tabiat ke apa cucu Tengku ni!
Tengku Aryan tersenyum kecil. Reaksi Iryani mengundang rasa lucu di hatinya. “Saya dengar Aniqah tak lama lagi akan ke Poland semula. Betul ke?”
Tengku Aryan meminta kepastian. Berita Aniqah yang bakal menyambung pelajarannya ke Poland semula sudah diketahui hampir semua penghuni di vila tersebut.
Saya jealous dengan dia sebab berjaya teruskan kursus yang dia ambil.”
Mana awak tahu pasal ni?” soal Iryani tidak percaya. Mana mungkin Aniqah akan menyebarkannya?
Hembusan bayu malam itu membuatkan Iryani mengerekot kesejukan. Dia segera menggosok-gosok tangannya. Kedinginan malam itu terasa sehingga ke tulang.
Tengku Aryan melihat perilaku Iryani melalui anak matanya. Tidak semena-mena, dia menanggalkan baju sejuk yang dipakainya lalu disarungkan ke tubuh Iryani.
Eh.” Iryani kaget diperlaku sebegitu. Dia cuba menolak namun ketegasan Tengku Aryan membuatkan dia terpaksa akur.
Mmm... betullah tu,” jawab Iryani, acuh tak acuh.
Dia membetulkan rambutnya yang sedang asyik dibuai angin malam. Rambut yang berterbangan mengenai batang hidungnya disauk lalu diselitkan di belakang telinga. Dia memperkemas kedudukan baju sejuk pada tubuhnya.
Tengku Aryan memandang langit hitam. Suasana di gazebo itu mengingatkan dirinya kepada seseorang. Malah, cahaya rembulan yang menerangi kawasan itu menambahkan kerinduannya kepada orang itu.
Habis tu, awak macam mana? Awak okey?” soal Tengku Aryan. Dia maklum dengan keakraban kedua-dua gadis itu.
Saya tak boleh halang Aniq daripada mengejar cita-cita dia. Dia berhak tentukan kehidupannya sendiri.” Sayu Iryani menuturkan ayat tersebut. Dia sedar walau bagaimana perlu pun dia kepada Aniqah, dia harus merelakan Aniqah pergi.
Yang awak prihatin bertanya ni kenapa?”
Eh, tak ada apa-apa sebab pun. Cuma saya risaukan awak. tanpa Aniqah macam mana awak nak teruskan hidup awak dekat rumah ni.” Tengku Aryan segera mencipta alasan. Mungkin ini adalah peluang untuk dia berbaik-baik dengan Iryani.
Kenapa awak risau pula? Kita bukannya kenal sangat pun, kan?” soal Iryani, pelik. Dia tidak mahu terlalu rapat dengan penghuni di rumah itu. Dia takut dikhianati lagi.
Memang kita tak kenal. Tapi itu tak bermakna kita tak boleh saling mengenali, bukan?”
Iryani mengerutkan dahinya.
Awak tak sedih?” duga Tengku Aryan. Wajah Iryani dikerling dengan anak matanya.
Sedih? Tipulah kalau saya tak sedih tapi itu mungkin yang terbaik.” Jujur Iryani memberi jawapan.
Tanpa Aniqah, mampu ke awak berhadapan dengan Elman?”
Soalan itu membuatkan Iryani terdiam. Tengku Elman. Jejaka itu selalu sahaja mencari kesalahan dirinya. Ada sahaja yang tidak berkenan di hati jejaka itu. Iryani melepaskan keluhan kecil. “Mungkin.”
Saya harap awak bersabar dengan Elman. Elman tu baik sebenarnya,” bela Tengku Aryan. Jejaka bermata coklat itu melemparkan pandangannya ke anak bulan yang sedang asyik menyimbahkan cahaya sinarannya.
Baik?” Iryani dilanda perasaan pelik. Dahinya berkerut mengenangkan ‘kebaikan’ Tengku Elman.
Eh, jomlah masuk. Dah pagi dah ni. Esok awak ada kelas, kan? Jom, saya hantar awak ke bilik,” ajak Tengku Aryan. Dia tidak mahu terus-menerus bercerita mengenai Tengku Elman.

TENGKU ELMAN menekan butang merah untuk menamatkan panggilan. Berita yang disampaikan oleh peguam keluarganya, Encik Fuad, membuatkan dia terdiam. Bayangan Iryani menerjah ke fikirannya. Satu keluhan terbit dari bibirnya yang merah.
Encik Fuad baru sahaja memaklumkan kesahihan bahawa separuh daripada harta Tengku Azimudin bakal jatuh kepada Iryani. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang diberitahu Encik Fuad sebentar tadi.
Apa sebenarnya hubungan atuk dengan atuk si buta tu? Kenapa atuk serahkan 15 peratus daripada saham atuk kepada dia? Bukan ke atuk si buta tu dah tarik diri daripada venture dengan atuk? Kenapa tiba-tiba pulak aku kena kahwin dengan si buta tu? Kalau atuk terhutang budi sekalipun, bagi sajalah apa yang sepatutnya menjadi milik dia! Kenapa nak libatkan aku?
Tengku Elman semakin bingung. Telefon bimbit miliknya diketuk-ketuk pada dagu. Dia diam memikirkan pelbagai perkara. Tengku Elman menggigit bibir. Cadangan Naim tadi kembali berlegar dalam fikirannya.

AKU cadangkan kau cari seseorang untuk buatkan si buta tu jatuh cinta. Bila dia jatuh cinta, baru senang kau nak putuskan pertunangan. Nanti kau cakaplah dekat atuk kau yang kau tak boleh kahwin dengan dia sebab dia dah ada pilihan sendiri dan kau tak sanggup nak pisahkan dia orang,” saran Naim.
Gila kau! Kau ingat Tengku Azimudin tu nak termakan dengan sebab macam tu? Mati hidup semula pun orang tua tu takkan percaya.” Tengku Elman mendengus.
Dia kenal dengan perangai Tengku Azimudin. Kalau demi Iryani, Tengku Azimudin sanggup sekat sumber kewangannya masakan dengan alasan itu, dia dapat membebaskan dirinya daripada pertunangan tersebut?
Tak pun. Kau cakap dia dah curang dengan kau.” Naim memberi saranan lagi. Wajah Tengku Elman ditenungnya dalam tatkala menuturkan ayat itu. Dia sedar dia sudah terlepas cakap dan kini dia terpaksa menanggung risiko dengan reaksi sepupunya itu.
Kau gila! Kau nak aku memfitnah? Kau tahu tak dosa memfitnah ibarat makan daging saudara sendiri? Aku tak sanggup. Kalau kau sanggup, teruskan ajelah dengan idea kau tu. Inilah idea yang paling rendah tarafnya. Aku bukan macam perempuan tu untuk memfitnah perempuan yang tak bersalah,” bentak Tengku Elman. Dia bangkit daripada duduknya. Beberapa keping not RM10 dikeluarkan dari dompet lalu dilemparkan di atas meja. “Aku belanja.”
Elman, sorry. Aku tak sengaja,” pohon Naim. Dia turut bangun daripada duduknya. Rasa bersalah kerana secara tidak langsung mengungkit peristiwa dulu, menerpa ke dalam sanubari Naim.
Tak apalah. Aku belanja.” Not RM10 yang terletak di atas meja dipulangkan kembali.
Dahlah. Aku penat. Aku nak balik dulu,” ujar Tengku Elman seraya melangkah pergi, meninggalkan Cinnamon Cafe milik Naim. Saranan Naim sedikit sebanyak membuatkan hatinya berang.

DAH, jangan stres. Tidur lena malam ni. Jangan fikir sangat semua tu,” pesan Tengku Aryan. Wajah bulat Iryani ditenungnya dalam.
Iryani mengukir senyuman.
Terima kasih,” ucapnya sebelum melangkah masuk ke dalam kamarnya.
Kalau ada apa-apa, panggil saya. Bilik saya sebelah kiri bilik awak aje,” ujar Tengku Aryan sambil tersenyum.
Malang baginya, senyuman yang pernah menggugah kebanyakan hati wanita langsung tidak terlihat pada pandangan Iryani.
Tengku Aryan diam memerhati Iryani masuk ke dalam kamarnya. Setelah Iryani masuk ke dalam biliknya, dia mengangkat kaki menuju ke bilik tidurnya. Bilik yang kini menjadi biliknya setelah ibunya bertekad memaksa dirinya untuk tinggal di kediaman itu bermula tengah hari tadi.

BONDA nak Aryan tinggal dekat rumah atuk,” arah Puan Sri Halimah. Puan Sri Halimah kelihatan khusyuk menggubah bunga hiasan di hadapannya.
Tengku Aryan masih seperti tadi. Dia leka membaca sebuah buku.
Aryan dengar tak apa yang bonda cakap ni?” Puan Sri Halimah menjegil memandang sikap endah tak endah anak terunanya. Bunga ros yang dipegang diletakkan di atas meja. Pandangannya berkalih kepada anak terunanya.
Kenapa pulak Aryan nak kena tinggal dekat rumah atuk tu? Rumah ni kan ada. Lagipun, Elman tak suka kalau Aryan tinggal kat sana,” balas Tengku Aryan. Dia kenal benar perangai adiknya itu.
Ah, tak payah nak pedulikan si Elman tu. Dia tu bukan siapa-siapa dalam rumah tu. Sekarang, bonda nak Aryan duduk dekat rumah tu. Bonda nak Aryan pikat si buta tu.”
Hah, bonda ni dah gila ke? Ada ke patut suruh Aryan pikat dia. Nak buat apa?” Perintah itu terasa bagaikan halilintar di pendengaran Tengku Aryan.
Adalah sebabnya. Dah, jangan banyak tanya. Tengah hari ni Aryan pindah masuk rumah tu semula. Bonda akan beritahu pada ayahanda. Bonda bagi masa pada Aryan sebulan untuk pikat si buta tu. Kalau tak, tengoklah apa yang bonda akan buat,” ugut Puan Sri Halimah. Dia menyambung kembali menggubah bunga hiasan tersebut.
Tapi bonda...” Tengku Aryan cuba membantah.
Tak ada tapi-tapi. Take it or leave it!” Puan Sri Halimah menokhtahkan keputusannya.
Tengku Aryan mendengus kasar. Untuk membantah, dia benar-benar tidak berani. Pesanan Nazrin, ibu kandung Tengku Elman masih terngiang-ngiang di telinganya. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Tengku Aryan melepaskan keluhan kecil. Kerana ketidakberanian dirinya membantah kata-kata Puan Sri Halimah menyebabkan dia kini dihimpit rasa bersalah.

No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<