Followers

Monday, September 7, 2015

VERSI CINTA KITA - BAB 8






AGI itu Iryani bersiap ke kelas tanpa bantuan Aniqah. Aniqah disuruh melihat dari jauh. Iryani sedar, dia harus berdikari jika mahukan Aniqah pergi melanjutkan pelajarannya tanpa perlu bimbang tentang dirinya. Setelah itu mereka bergerak seiringan ke gazebo Taman Himpunan Bunga. Iryani turut melarang Aniqah daripada memimpinnya.
Bila flight awak, Aniq?” soal Cikgu Salina. Matanya tidak lekang melihat Iryani yang sedang membuat latih tubi di meja berhampiran dengan tempat mereka berbual.
Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang saya akan fly lusa,” ujar Aniqah.
Segala persiapan sudah pun dibuat. Mujurlah ada Tengku Azimudin yang sanggup menguruskan tiket penerbangannya ke Poland.
Oh, dah nak pergi dah awak. Pasti Iryani akan sedih. Tapi saya yakin semangat Iryani kuat.” Cikgu Salina menzahirkan apa yang berada dalam hatinya. “Bila awak akan pulang ke sini?”
Mmm... kalau tak ada aral, hujung tahun ni saya akan pulang semula ke Malaysia hujung tahun. Cuti raya itupun kalau tak busy dengan praktikal atau kertas kerja,” lafaz Aniqah.
Kalau macam tu, apa kata malam ni kita keluar? Saya teringin nak belanja awak dan Iryani sempena pemergian awak ni. Yelah, entah bila kita dapat jumpa, kan? Sebab kalau ikut perkiraan saya, dalam hujung tahun ni juga Tengku Azimudin nak hantar Iryani ke London untuk sambung pelajaran dia.”
Aniqah mengangguk laju. Dia tahu mengenai itu. Malah, Iryani pernah bercerita kepadanya mengenai hal tersebut. Menurut Iryani, dia akan menduduki peperiksaan penting di kolej persendirian milik Tengku Azimudin iaitu Tengku Azimudin Schools of Bussiness (TASB) hujung tahun ini.
Mmm... tengoklah macam mana dulu. Saya kena tanyakan pada Tengku Azimudin dulu. Kalau dia benarkan, nanti saya bawa Iryani keluar malam ni,” ujar Aniqah. Dia tidak berani membuat keputusan tanpa berbincang dengan Tengku Azimudin terlebih dahulu.

TENGKU ELMAN terus menuju ke meja makan. Tudung saji dibuka namun kehampaan bertandang di hatinya pabila tiada makanan yang tersedia di sebalik tudung saji tersebut. Jam pada dinding dikerlingnya sekilas. 10.30 pagi. Dia terus bergerak ke dapur. Kelibat Mak Kiah dicarinya namun langsung tidak berjumpa. Akhirnya, dia kehampaan.
Tengku Elman memegang perutnya. Perutnya semakin galak menyanyi. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menyediakan makanannya sendiri.
Tengku Elman membuka peti ais. Beberapa biji telur ayam, bawang besar, susu segar dan beberapa biji cili dikeluarkan. Setelah itu, dia mencampurkan ke semua bahan tersebut lalu dipukulnya sehingga sebati. Setelah itu, terhasillah omelette yang digemarinya. Dia tersenyum puas.
Omelette aje?”
Teguran seseorang mengundang cebikan pada wajahnya. Tengku Elman tidak mempedulikan wanita itu. Dia meneruskan kerja memindahkan omelette yang telah siap ke dalam piring. Setelah itu botol sos yang tersusun di rak bahan kering dituangkan ke atas omelette tersebut.
Omelette aje?” Puan Sri Halimah mengulang soalannya.
Kau nak apa?” Kasar dia menyoal Puan Sri Halimah.
Tak ada apa. Saja. Mana orang gaji yang kau dengan atuk kau sanjung sangat tu? Tak reti nak buat kerja ke?” sambung Puan Sri Halimah lagi. Matanya melilau mencari kelibat Mak Kiah.
Kalau kau datang sini setakat nak sakitkan hati Mak Kiah, Tak payah pun tak apa,” perli Tengku Elman. Pinggan omelette miliknya dibawa ke kaunter dapur.
Dapur seluas ruang tamu yang menempatkan pelbagai jenis bahan basah dan kering itu hanya dipisahkan dengan meja ala-ala kaunter bar dengan ruang makan. Dia mengambil tempat di sebelah tingkap. Matanya dilontarkan ke luar. Pemandangan hijau dan Taman Himpunan Bunga hasil dekorasi arwah ibunya dipandang dari jauh.
Puan Sri Halimah masih tidak berpuas hati. Sikap Tengku Elman yang acuh tidak acuh itu membuatkan dirinya kegeraman. Dia turut mengekori Tengku Elman ke kaunter lalu melabuhkan punggungnya bertentangan dengan Tengku Elman.
Kau nak apa?” soal Tengku Elman tidak puas hati. Adabnya kepada orang tua itu sudah lama hilang.
Aku dengar budak tu selalu susahkan kau?” Puan Sri Halimah memulakan bicara.
Siapa?” Tengku Elman pelik. Siapa pula yang dimaksudkan wanita itu? Suapannya terhenti seketika.
Tu.” Puan Sri Halimah memuncungkan bibirnya ke arah Iryani.
Tengku Elman segera menoleh. Iryani kelihatan khusyuk mendengar ajaran Cikgu Salina, cikgu yang sama pernah mengajarnya semasa dia masih menuntut di TASB.
Tengku Elman mencebik. “Siapa kata?” Dia mengangkat kening kirinya.
Kalau kau datang sini setakat nak menyibuk hal aku, Kau boleh baliklah. Aku tak perlu nak celarukan hidup aku dengan soalan kau. Lagipun, apa motif kau? Tak pernah kau datang sini, tiba-tiba rajin pula nak singgah? Kenapa? Kau takut budak buta tu ambil semua harta Tengku Azimudin ke?” Sempat lagi Tengku Elman memerli. Tengku Elman sedar tentang kehadiran wanita itu yang semakin kerap ke vila.
Kau ni!” Puan Sri Halimah menggenggam buku limanya. Ingin rasanya dia mengamuk di situ namun dia segera menenangkan amarahnya. Berulang kali dia memesan dirinya untuk tidak marah agar tidak menjatuhkan maruahnya sendiri di hadapan Tengku Elman.
Aku datang nak lawat Aryan. Salah ke?” perli Puan Sri Halimah.
Aryan? Buat apa kau nak melawat Aryan? Aryan tu bukannya duduk sini.” Tengku Elman menyoal pelik.
Huh. Nampak sangat kau ni tak ambil tahu hal orang lain. Kau tak tahu ke Aryan dah pindah sini?” duga Puan Sri Halimah. Dia tersenyum sinis.
Garpu dan sudu di tangan Tengku Elman terlepas. “Buat apa?”
Kau ingat kau seorang aje ke yang layak untuk harta tu?” Puan Sri Halimah tidak berdalih lagi.
Dasar mata duitan!” Mata Tengku Elman mencerlung menahan marah.
Lantaklah apa yang kau nak gelarkan aku. Apa yang pasti aku akan dapatkan apa yang sepatutnya jadi milik aku. Kau, mak kau mahupun si buta tu tak berhak langsung ke atas harta tu,” ujar Puan Sri Halimah keras. Beg tangan hitam berjenama Bonia miliknya dicapai lalu disarungkan ke tangannya sebelum dia bertindak beredar dari situ.
Tengku Elman mengetap gigi. Berita yang baru didengarnya membuatkan hatinya bertambah panas. Mahu sahaja dia membaling sudu di tangannya namun kewarasan akal membantutkan tindakannya. Dia segera bangun untuk membasuh kembali pinggan yang telah digunakannya. Tindakannya terhenti apabila terlihatkan Iryani.
Aniqah tertawa melihat reaksi Tini yang kelihatan bingung.
Tini mengaru-garu belakang kepalanya kerana termelatah. Kepenatan menyiapkan tugasan universitinya membuat Tini terlelap seketika dan secara tidak sengaja, dia termelatah setelah pinggangnya disenggol Aniqah. Merah pipi Tini dibuatnya.
Iryani turut tertawa mendengarkan latah Tini.
Tengku Elman melepaskan keluhan kecil. Pertama kali dia melihat senyuman pada wajah Iryani. Kejamkah dia selama ini kerana selalu memarahi gadis itu walaupun kesalahannya kecil? Mungkin gadis itu juga seperti dia. Dia percaya pasti gadis itu ada impiannya sendiri sehingga sanggup mengikut arahan atuknya.

MAK KIAH terus sahaja mengeluarkan daging beku yang tersimpan di dalam peti ais. Mak Kiah baru sahaja pulang dari klinik kesihatan. Sakit kepala yang melampau malam tadi membuatkan dia mengambil keputusan untuk ke klinik. Sudahnya, setelah hampir 45 minit menunggu, barulah gilirannya tiba. Lantaran itu, terus sahaja wanita pertengahan 50-an itu melakukan tugasnya sebaik sahaja tiba di kediaman itu.
Mak Kiah pergi mana tadi?” soal Tengku Elman sebaik sahaja dia ternampak kelibat Mak Kiah. Tengku Elman baru sahaja selesai mencuci pinggan yang digunakan untuk makan tadi.
Mak Kiah terperanjat disergah begitu. Dia tidak perasan akan kehadiran Tengku Elman di dapur itu. Mak Kiah segera beristighfar.
Mak Kiah ke mana tadi?” Tengku Elman mengulang kembali soalannya.
Mak Kiah dari klinik. Mak Kiah rasa tak sihat. Tengku Elman dari mana? Tak ke kafe ke?” soal Mak Kiah.
Selalunya, jika waktu mencecah tengah hari seperti itu, Tengku Elman sudah pun selamat sampai ke Cinnamon Cafe dan akan pulang bila malam menjelma.
Malas nak pergi hari ni,” ujar Tengku Elman. Dia mengambil tempat di kaunter. Kelibat Mak Kiah ke hulu dan ke hilir, dilihatnya.
Malas nak pergi? Ke Tengku Elman bergaduh dengan Naim?” teka Mak Kiah.
Sekilas ikan di laut, dia sudah tahu yang mana betina dan yang mana jantan, inikan pula hubungan antara Tengku Elman dan Naim yang akrab seperti adik-beradik kandung. 25 tahun membesarkan Tengku Elman sudah cukup untuk membuatkan Mak Kiah mengenali sebarang perubahan pada Tengku Elman.
Taklah.” Tengku Elman cuba menafikannya.
Baguslah kalau macam tu. Lega hati Mak Kiah mendengarnya.” Mak Kiah mengukir senyuman. Sayur-sayuran yang baru dikeluarkan dari peti dibawa ke meja lalu dipotong.
Tengku Elman tidak berdiam diri. Dia turut membantu Mak Kiah. Kasihan pula Mak Kiah terpaksa memasak dalam keadaan yang sakit.
Tak apalah, Mak Kiah. Elman pun bosan kat bilik tu,” jelas Tengku Elman. Sendirian di vila itu tanpa berbuat apa-apa memang meletihkan. Kalaulah dia tidak melancarkan perang dingin dengan Naim!
Mak Kiah akhirnya akur. Dalam keterpaksaan, terpaksa juga Mak Kiah membenarkan. Jika diikutkan hati, mahu saja disingkirkan Tengku Elman dari dapur. Tindakan Tengku Elman membuatkan Mak Kiah rasa tidak selesa walaupun ini bukan kali pertama Tengku Elman membantunya di dapur.

ANIQAH tersenyum lebar saat mendapat lampu hijau daripada Tengku Azimudin. Mujur saja Tengku Azimudin memahami. Tepat jam 8.00 malam, Cikgu Salina tiba dengan kereta Viva miliknya. Tanpa berlengah, terus sahaja mereka menaikinya.
Cikgu Salina membawa mereka ke Restoran Darusalam kegemarannya yang terletak di Subang Jaya. Sebaik sahaja tiba, mereka terus membuat pesanan.
Cikgu memang suka makan dekat sini ke?” soal Aniqah. Matanya melilau melihat dekorasi dalaman restoran itu. Kipas kecil yang berpusing di atas siling itu menarik perhatiannya.
Yup. Arwah bapa saya suka datang sini. Lagipun, makanan dia sedap.” Cikgu Salina mengukir senyuman. Namun begitu, matanya tidak lekang daripada melihat telefon bimbitnya.
Cikgu tengah tunggu orang call ke?” soal Aniqah. Dari tadi dilihatnya Cikgu Salina merenung telefon bimbitnya.
Entah-entah, cikgu rindu dengan Dr. Azmi, ya?” usik Iryani pula. Dia turut mengukir senyuman. Maklumlah, kalau dah namanya dalam hati ada taman.
Eh, taklah. Saya tengah tunggu panggilan daripada adik saya.”
Adik cikgu?” Iryani mengerutkan dahinya. Dia tidak dimaklumkan langsung perihal tersebut.
Saya ingatkan cuma kita bertiga aje malam ni, cikgu,” ujar Aniqah, pelik. Dia juga seperti Iryani. Langsung tidak tahu-menahu perihal tersebut.
Pada asalnya memang macam tu tapi petang tadi masa berbual-bual dengan adik saya, saya tersebut nama Iryani,” jelas Cikgu Salina. “Entah macam mana, adik saya macam berminat nak jumpa Iryani.”
Iryani mengerutkan dahinya. Siapa pulak yang berminat nak berjumpa dengannya?
Kenapa pulak jadi macam tu?” Aniqah masih tidak berpuas hati dengan jawapan Cikgu Salina.
Ermm, saya cuma cerita yang saya nak keluar dengan studen saya. Studen saya ni istimewa orangnya. Lepas tu, terus aje adik saya macam berminat nak jumpa Iryani.” Cikgu Salina cuba menjelaskan duduk perkara sebenar.
Kami kenal adik cikgu ke?” Aniqah semakin pelik.
Tak pasti pulak. Mungkin ya, mungkin tak.”
Dia akan datang malam ni ke?” soal Iryani. Teringin juga dia berjumpa dengan adik Cikgu Salina.
Tak kut. Sebab katanya kalau dia dapat datang, dia akan call saya tapi dah hampir setengah jam kita kat sini, dia masih tak call saya,” ujar Cikgu Salina.
Kalau macam tu, tak ada rezeki kami nak jumpa dia.” Aniqah mengalah.
Iryani pula melepaskan keluhan kecil. Entah kenapa, dia berasa lega.





No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<