Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : BAB 1





DARI kejauhan Vila Carissa kelihatan tersergam indah. Vila setinggi tiga tingkat itu kelihatan gah dengan siraman cahaya lampu daripada menara setinggi 1,063 kaki milik Eiffel Tower di Paris. Vila Carissa yang terletak di Bandar Ile de France membuatkan penghuninya dapat melihat keindahan kota cinta itu dengan jelas pada waktu malam.
Malam semakin lewat. Jam menunjukkan pukul 7.00 malam di Perancis bersamaan dengan pukul 1.00 pagi di Malaysia. Gadis itu masih duduk termangu di jendela biliknya. Kepekatan malam langsung tidak mendorongnya untuk tidur. Usai solat isyak tadi dia terus termenung di tepi jendela biliknya.
Hatinya terasa kosong. Esok majlis hari lahirnya yang ke-25 akan dilangsungkan, tapi dia masih belum dapat tidur. Dia terlalu runsing dengan kesihatan mamanya. Bila diajak ke klinik, mamanya tidak mahu.
Rihan, ma petite-fille (Rihan, cucuku).”
Pandangan Rihan terkalih ke pintu. Kelibat Nenek Fleury menghiasi pandangannya.
Nenek,” ujarnya perlahan.
Rihan pantas bergerak menghampiri neneknya, namun cepat-cepat Nenek Fleury menegah.
Kenapa dengan cucu nenek ni? Jauh termenung.” Nenek Fleury bergerak merapati Rihan. Dia duduk di birai katil berdekatan dengan tempat Rihan berdiri.
Cucu nenek ingat siapa ni?” soal Nenek Fleury.
Walaupun Nenek Fleury seorang rakyat negara Perancis, Nenek Fleury fasih berbahasa Melayu. Ini kerana Nenek Fleury dan keluarganya pernah menetap di Malaysia sebelum mereka kembali menetap di Paris.
Nenek Fleury merenung wajah Rihan. Rihan kelihatan manis berambut panjang. Dengan alis matanya yang lentik, cucu perempuannya itu benar-benar mirip dengan anaknya, Maurice. Mata hazel Rihan mengingatkan dirinya kepada arwah suaminya.
Tak ingat siapa-siapa, nek. Cuma... Rihan risaukan mama.” Rihan menyuarakan resah di hatinya.
Nenek Fleury melepaskan keluhan kecil. Bukannya dia tidak risau akan anaknya, cuma dia tidak tahu bagaimana mahu menasihati anaknya lagi. Anaknya itu benar-benar degil. Keengganan Maurice mendengar kata-katanya membuatkan dia kadang-kadang tidak boleh buat apa-apa.
Dahlah. Rihan, jangan risau. Nanti nenek pujuk mama Rihan ke klinik.”
Rihan tersenyum tawar. Dia tahu neneknya itu cuma menyedapkan hatinya. Walhal, dia tahu betapa renggangnya hubungan dua beranak itu. Sejak mereka berdua berpindah ke Vila Carissa beberapa bulan yang lalu, dia tidak pernah melihat mama dan neneknya berbual seperti anak-beranak biasa. Ada saja yang tidak kena di mata mamanya.
Dahlah. Pergi tidur. Jangan risau sangat. Esok majlis hari lahir Rihan, kan?” pujuk Nenek Fleury. Dia risau Rihan diserang asma sekiranya terlalu asyik memikirkan perihal mamanya. Dia tidak mahu cucunya itu tertekan.
Rihan menghela nafas sedalamnya. “Baiklah, nek. Nenek pun pergilah tidur.”
Nenek Fleury segera mengangguk.
Nenek nak masuk tidurlah ni. Rihan tu, jangan fikir banyak sangat,” pesan wanita yang berusia akhir 60-an itu. Setelah itu dia terus bergerak ke pintu. “Tidur.”
Rihan sekadar tersenyum nipis. Dia kembali membuang pandangan ke luar tingkap.
Nenek Fleury melepaskan keluhan kecil. Matanya ralit memandang Rihan dari jauh. Cucunya itu kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu.
Semenjak Rihan dan Maurice berpindah masuk ke Vila Carissa, senyuman terus mati dari bibir gadis itu. Dia benar-benar rasa bersalah kerana memaksa kedua-dua beranak itu pulang ke situ. Apakah mungkin seandainya dia tidak memaksa mereka, senyuman akan kembali ke wajah mereka seperti dulu-dulu?

GESEKAN simfoni Eine Kleine Nachtmusik yang berkumandang di Vila Carissa membuatkan hati Rihan rasa pelik. Walaupun simfoni itu kedengaran ceria, Rihan tetap dapat mengesan perasaan hiba yang melanda perasaan mamanya sebalik bunyi gesekan itu.
Dari sebalik pintu itu, dia melihat Maurice sedang bermain violin. Dia teragak-agak mahu masuk. Mama tidak suka jika dia masuk ke dalam bilik itu tanpa kebenaran.
Maurice terus menghentikan gesekan violinnya apabila pintu diketuk. Wanita berusia akhir 40-an itu segera menoleh. Senyuman terukir pada wajahnya tatkala terpandangkan Rihan. Sejurus itu dia meletakkan violin itu di atas riba.
Mama tak tidur lagi?” soal Rihan.
Melihatkan senyuman Maurice, Rihan terus masuk ke dalam bilik lalu menghampiri Maurice.
Mama tak mengantuk lagi.” Maurice menyimpan semula violin miliknya ke dalam bekas violin sebelum menyimpannya di dalam almari.
Mama rindukan adik?” soal Rihan.
Dia tahu gejolak yang berada di hati ibunya. Semenjak disahkan menghidap kanser hati, Maurice sering kali teringatkan adiknya, Farahana Farisya, walaupun hampir 25 tahun adiknya telah pergi.
Menurut Maurice, Farahana Farisya meninggal dunia sejurus dilahirkan akibat kelemasan. Kadangkala rasa bersalah turut menghimpit Rihan. Manalah tahu kerana mahu membenarkan dirinya lahir dahulu, Farahana kelemasan.
Maurice enggan menjawab. Ya, dia memang rindukan Farahana namun dia tidak mampu untuk melunaskan perasaan itu. Farahana terlalu jauh untuk digapai. “To love somebody is to lose to somebody. To love symphony, I lose them.”
Rihan mengetap bibirnya. Mamanya suka benar pepatah itu. “Mama, nak jumpa adik?”
Apa yang Rihan merepek ni? Adik kan dah tak ada? Macam mana mama nak jumpa lagi?” bentak Maurice.
Dia benar-benar marah mendengarkan soalan Rihan. Serentak itu dia terbatuk-batuk. Tangannya kejap memegang dada yang terasa perit.
Tapi, mama...” Niat Rihan cuma mahu mengurangkan kerinduan di hati Maurice.
Kalau mama nak jumpa adik, kita balik Malaysia? soal Rihan. Namun, soalan itu hanya bergema dalam hati. Mana mungkin mamanya mahu pulang ke Malaysia. Sejak kecil lagi Malaysia adalah satu-satunya negara yang Maurice takkan benarkan Rihan pergi. Rihan sendiri tidak tahu mengapa.
Dahlah, Rihan. Pergi masuk tidur. Esok nak ke bistro, kan? Esok juga ada majlis hari lahir Rihan, kan?” soal Maurice.
Dia enggan bercerita panjang mengenai anak kembarnya itu. Dia takut. Dia takut jika rahsia yang dipendamnya selama itu terbongkar.
Rihan hanya mengangguk lemah. Ya, esok adalah majlis hari lahirnya yang ke-25. Nenek Fleury sengaja mengadakan majlis itu walhal tarikh lahirnya yang sebenar telah lama lepas. Kata Nenek Fleury, Rihan lahir tidak cukup bulan. Sepatutnya Rihan lahir pada tarikh esok hari, bukannya pada tarikh dua bulan yang lalu.

DI Malaysia, jam menunjukkan hampir 1.00 pagi. Gadis itu masih belum tidur. Dia duduk termangu di jendela biliknya. Malam itu dia langsung tidak dapat melelapkan matanya. Kata-kata Farhan benar-benar membuatkan hatinya disayat pilu. Lelaki yang menjadi pujaannya selama ini sanggup merelakan dirinya menjadi tunangan orang lain.
Ara melepaskan keluhan kasar. Mungkin benar selama ini Farhan langsung tidak sukakannya. Mungkin selama ini hanya dia yang tergila-gilakan jejaka itu. Telahan Azlin, sahabat baiknya, salah sama sekali. Farhan tak pernah sukakannya.
Sedang asyik mengelamun, Ara mendapat satu idea. Mungkin dengan cara itu dia dapat mengelakkan diri daripada pertunangannya yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari lagi. Dia harus lakukannya. Dia tidak mahu menjadi mangsa Aiman. Aiman bukan lelaki yang baik. Dia kenal benar dengan perangai sepupunya itu.
Ara terus bangun daripada perbaringannya. Baju-baju yang diperlukan dimasukkan ke dalam beg galas. Telefon pintar dan dompet miliknya turut dibawa. Dia memeriksa jumlah wang yang telah dikeluarkan tempoh hari. “Cukup ni!”
Ara mengeluarkan kad debit miliknya lalu dicampakkan ke atas meja belajar. Tidak guna lagi dia menyimpan kad itu. Kalau dia membawa kad itu bersamanya, dia mungkin cenderung untuk menggunakannya. Kalau dia menggunakan kad itu, pasti kedudukannya dapat dikenal pasti. Tidak dilupakan, dia turut membawa pasport. Mana tahu, kalau-kalau dia terpaksa melarikan diri ke luar negara.
Ara melihat ke bawah balkoni. Dia meneguk liurnya. Jarak balkoni biliknya dengan aras bawah yang sangat tinggi membuatkan semangatnya goyah. Tak boleh. Aku kena lakukannya juga! Ara menanamkan tekadnya.

No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<