Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : BAB 2





PAGI itu batuk Maurice semakin menjadi-jadi. Badannya terlalu lemah untuk ke bistro. Mujur sahaja ada Rihan. Rihan mengambil keputusan untuk ke bistro sendirian. Dia perlu berbuat demikian. Jika tidak, bistro milik keluarganya akan kerugian.
Bistro itu banyak membantu mereka meneruskan kehidupan mereka di Kota Paris. Biarpun mereka dua beranak sudah berpindah masuk ke Vila Carissa, mereka masih menjalankan perniagaan tersebut. Banyak yang sudah mereka lalui demi bistro itu.
Seperti kebiasaannya, Rihan akan memantau kerja-kerja yang yang dilakukan pekerja-pekerja Maurice. Seramai tujuh orang pekerja yang bekerja di situ. Mujur sahaja pekerja Maurice tidak banyak kerenah.
Rihan duduk di kaunter pembayaran. Selama ini pun mamanya lebih percayakan dirinya untuk menjaga kaunter itu berbanding orang lain. Peristiwa pekerjanya yang mencuri sejumlah wang di situ sebelum ini membuatkan mereka menjadi serik.
La table 6 (Meja enam),” ujar seorang pelanggan yang ingin membayar.
Rihan pantas mengira. Matanya tidak lekang daripada mesin pembayaran. “23 Euros, s’il vous plaît (23 Euros).”
Tu sembles occupée (Kamu kelihatan sibuk),” ujar pelanggan itu. Matanya tajam memerhatikan Rihan.
Rihan tersenyum kecil. Matanya masih tertancap pada mesin wang sementara tangannya ligat mengira wang baki yang mahu dipulangkan.
Merci (Terima kasih),” ucap Rihan seraya memulangkan wang baki. Namun, tindakannya terbantut saat matanya jatuh pada raut wajah pelanggannya.
Rihan mengerutkan dahinya. Dia mengamati raut wajah itu. “Oncle Nicholas (Pak Cik Nicholas)?”
Je suis heureuse de te voir, ma chérie (Gembira berjumpa kamu, sayang),” ujar Nicholas, abang kepada Maurice. Nicholas mencabut topi Fedoranya lalu diletakkan di dada sebagai tanda penghormatan.
Rihan tersipu malu. Macam manalah dia tidak perasankan kehadiran pak ciknya di situ?

NICHOLAS menggeleng kepala melihat keadaan Maurice yang sedang tidur di atas katil. Adik perempuannya itu sudah banyak sengsara. Semuanya kerana kedegilan wanita itu sendiri. Kalaulah Maurice tidak terlalu berdegil, pastinya keluarga de Fleury tidak akan sesekali membuang Maurice. Mujurlah kehadiran Rihan dan Maurice diterima semula ibunya.
Nicholas masih ingat lagi betapa ibunya membenci kehadiran Maurice dan Rihan dulu hanya kerana perbezaan agama antara mereka.
Dah lama mama kamu sakit?” soal Nicholas. Tangan kanannya diletakkan di atas dahi adiknya.
Sudah lama rasanya dia tidak bertemu dengan adiknya itu. Kerjayanya sebagai seorang kelasi kapal membuatkan dia sentiasa berjauhan dengan satu-satunya adik yang dia ada. Malah, kewujudannya kadangkala tidak diketahui orang memandangkan dia jarang berada di rumah.
Sejak pindah ke sini, kesihatan mama semakin teruk, pak cik. Mungkin mama stres.” Perlahan Rihan menuturkan perkataan itu.
Dia tidak mahu neneknya terasa sekiranya terdengar apa yang dituturkannya, tapi itulah hakikatnya. Dulu mereka melarikan diri dan tinggal di pangsapuri lain, tapi satu hari, entah macam mana, mereka didatangi oleh Nenek Fleury. Dengan keadaan yang menimpa keluarga mereka, mereka terpaksa bersetuju untuk pulang ke Vila Carissa. Mamanya itu sakit dan perlukan bantuan kewangan dan tika itu hanya Nenek Fleury dapat membantu mereka.
Nicholas melepaskan keluhan kecil.
Andre dan Louise mana?” soal Nicholas. Dia rindu benar dengan anak kembarnya itu.
Camilla, isterinya juga seperti dirinya. Sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Tambahan lagi musim perayaan dah tiba. Banyak yang harus dilakukan oleh isterinya memandangkan Camilla seorang tukang masak.
Mereka masih di kolej. Lewat petang baru habis kelas,” ujar Rihan.
Dia tahu pak ciknya itu pasti rindukan anak-anaknya. Kalaulah dia masih ada papanya, pasti papanya juga akan merinduinya.
Oh, ya. Hari ni majlis hari lahir kamu, kan? Pergilah bersiap.” Nicholas mengingatkan Rihan. Dia pulang ke Vila Carissa hari itu pun kerana majlis hari lahir Rihan.
Rihan tersengih.
Saya lupalah, pak cik. Saya minta diri dulu. Saya kena bersiap. Nanti nenek marah pula,” ujar Rihan seraya keluar dari bilik itu.
Nicholas hanya tersenyum. Tak sangka anak gadis adiknya sudah pun dewasa, cepat benar Rihan membesar.

MAURICE tersedar daripada lenanya. Melihatkan kelibat abangnya, terus sahaja dia mengait tangan Nicholas.
Nicholas mengalihkan pandangannya kepada Maurice.
Aku rindu dia, frère (abang),” ujar Maurice, perlahan. Dia cuba bangun daripada baringannya.
Nicholas mengetap bibir. Dia mengerti maksud adiknya namun apakan daya, dia tidak dapat membantu Maurice. Apa yang berlaku adalah kerana kesilapan yang Maurice sendiri lakukan.
Aku rindu dia. Aku rasa bersalah sebab tinggalkan dia dekat sana. Aku mahu jumpa dia,” ujar Maurice.
Maurice, kau tahu itu mustahil, kan? Kau dah dibuang oleh keluarganya. Kau takkan dapat jumpa dia.” Nicholas tidak sampai hati melihat adiknya begitu.
Aku rasa bersalah, frère. Aku nak tebus semula kesilapan aku. Aku nak jumpa dengan anak aku. Aku nak dia kenal aku sebelum aku mati.”
Kau tak kasihankan Rihan, Maurice? Selama ini kau selalu merindui dia sampai kau abaikan perasaan anak kau yang satu ini? Apa bezanya Rihan dengan dia, Maurice? Mereka berdua anak kau.” Nicholas mula tidak puas hati. Padanya, Maurice tidak patut membeza-bezakan anaknya.
Aku sayang Rihan, tapi aku nak tengok dia sebelum aku pergi. Aku rasa bersalah sebab aku tinggalkan dia pada keluarga tu. Tak tahulah apa yang dah keluarga tu lakukan pada dia.”
Rihan harus tahu perkara ini,” tegas Nicholas. Dia bukannya tidak pernah menasihati adiknya itu. Adiknya itu yang terlalu degil.
Tak. Rihan tak harus tahu hal ini,” tegas Maurice.
Dia tidak mahu anaknya itu tahu. Dia tahu kemampuan Rihan. Jika Rihan tahu perkara ini, tak mustahil anaknya itu akan meninggalkannya.
Rihan tersandar di sebalik dinding. Dia sengaja berpatah balik ke bilik mamanya. Ingatkan mahu meminta pendapat pak ciknya tentang pakaiannya malam itu, tapi tak sangka pula dia terdengar sesuatu yang tidak sepatutnya dia dengar. Dia terdengar mamanya sedang merindui seseorang.
Siapa dia? Kenapa mama nak sangat jumpa dia? Kedua-duanya anak kau? Apa maksud Pak Cik Nicholas? Takkanlah Farahana! Farahana dah meninggal dunia, kan? Takkanlah! Rihan menekup mulutnya. Sukar untuk dia percaya dengan berita yang baru didengar.

No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<