Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : BAB 4



HOTEL CARISSA, Kuala Lumpur menjadi pilihannya untuk beristirahat. Sebaik sahaja mendaftar masuk, Rihan terus menuju ke biliknya yang terletak di aras lima. Nenek Fleury yang menempah bilik itu untuknya. Sebagai pembantu kepada Nenek Fleury, dia harus menghadiri mesyuarat ahli lembaga Carissa Holdings di Malaysia.
Lagipun tawaran Nenek Fleury yang mahu memindahkan Amour Bistro ke dalam Carissa Holdings membuatkan dia terus bersetuju. Meluaskan sayap untuk bistro itu ke luar negara memang menjadi impiannya dan Maurice.
Rihan terus menuju ke tingkap biliknya. Dari biliknya, dia dapat lihat dengan jelas Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur itu. Selama ini, dia hanya melihat menara itu dalam Internet atau di dalam buku. Ini kali pertama dia melihat menara itu secara berhadapan.
Mana tidaknya, sepanjang 25 tahun dia hidup di muka bumi ini, ini kali pertama dia menjejakkan kaki di sini. Malaysia! Tempat lahirnya.
Rihan pantas menutup tingkap. Perjalanan yang mengambil masa hampir 13 jam membuatkan badannya keletihan. Rihan terus ke katil. Katil gebu itu menarik minatnya untuk berbaring dahulu. Tadi pun dia nyaris tertidur di dalam teksi. Perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih satu jam itu membuatkan dia benar-benar rasa letih.
Deringan telefon mengejutkan Rihan. Mana tidaknya, dia baru sahaja tiba, tup-tup ada panggilan masuk pula. Lambat-lambat dia mengangkat panggilan itu.
Rihan dah sampai?”
Suara Nenek Fleury membuatkan Rihan menarik nafas lega. Kalau orang lain, pasti sudah dimarahnya. Yalah, penat tak habis, kena layan panggilan pula.
Kenapa, Rihan?” soal Nenek Fleury, bimbang.
Tak ada apa-apa. Rihan baru aje sampai, nenek.” Rihan terus mengubah topik perbualan.
Baguslah.” Nenek Fleury tersenyum. Lega hatinya mendengar perkhabaran itu.
Oh, ya. Petang nanti wakil Hotel Carissa di Malaysia akan jemput Rihan. Namanya Zea,” lapor Nenek Fleury. “Dia akan bawa Rihan ke mesyuarat ahli lembaga pengarah. Sebagai pembantu nenek, kamu kena tahu serba sedikit mengenai Carissa Holdings.”
Rihan melepaskan keluhan kecil. Tak sempat dia nak rehat! Rihan terus mencapai notepad yang berada di dalam tas tangannya. Pen ditarik keluar lalu tangannya laju mencatat butiran tersebut.
Dan... Rihan ambillah peluang ini untuk kenal Hazriq dengan lebih dekat,” ujar Nenek Fleury, berharap.
Rihan mengetap bibirnya kuat. Hazriq! Nama itu saja sudah buatkan dia mengeluh tanpa putus. Notepad yang dipegang diletakkan ke tepi.
Baik, nek. Rihan cuba,” lafaz Rihan separa ikhlas. Setelah itu dia terus matikan panggilan neneknya.
Dia kembali teringat akan hal Hazriq. Tunang tak relanya. Pertunangan tidak rela itu berlaku dua bulan lalu. Keluarga Hazriq telah menghantar rombongan meminang ke Vila Carissa. Disebabkan persahabatan antara mamanya dengan mama Hazriq, pertunangan itu termeterai.
Dear, kau tu bukan muda lagi dan kau pun tiada kekasih. Setuju ajelah. Kau nak tunggu siapa? Haiqarl? Haiqarl tak akan kembali. Dia sudah jadi sejarah. Itu cinta monyet kau masa muda remaja. Siapa tahu, Hazriq sesuai dengan kau.”
Dia teringat pula pesanan sahabatnya, Rossa.
Seperti Nenek Fleury, Rossa juga mahir berbahasa Malaysia. Rossa merupakan anak kepada kawan baik Maurice, Adrianna. Semenjak Adrianna meninggal dunia, Rossa tinggal di rumahnya. Sejak itu juga mereka berdua menjadi kawan baik. Melalui Rihan, Rossa belajar menggunakan bahasa itu untuk berkomunikasi.
Rihan terdiam memikirkan kata-kata Rossa. Sepatutnya dia dah agak Nenek Fleury tak akan sengaja menyuruhnya ke Malaysia melainkan ada sebab. Nenek Fleury dan Maurice ada sejarah dengan Malaysia, yang Rihan sendiri tak tahu.
Rihan mengeluh lagi. Dia tak suka Hazriq walaupun dia tak pernah melihat jejaka itu. Masa Hazriq datang meminang dahulu, dia langsung tidak mahu tengok Hazriq dan kini, dia terpaksa berhadapan dengan lelaki itu.

ARA tersedar daripada lenanya. Dia pantas bangun daripada baringan. Berapa lama dia tertidur, dia sendiri tidak sedar. Matahari yang sudah meninggi sudah cukup membuatkan dirinya tahu, tengah hari sudah pun tiba.
Keadaan sekeliling diperhatikan. Baru dia teringat, malam tadi dia mengambil keputusan untuk berehat di surau Menara Berkembar Petronas itu. Dia tidak punya tempat lagi untuk berlindung. Dia tidak berani mahu menempah mana-mana motel atau hotel untuk berlindung. Dia takut dia dapat dikesan. Kabel Aiman besar. Tak mustahil Aiman akan tahu kedudukannya dengan cepat.
Ara mencapai beg galas yang dijadikan bantal malam tadi. Dia terus menukar pakaian. Dia tidak mahu ada yang mengenali dirinya. Setelah itu, dia mengambil tuala untuk membersihkan badan. Sekadar membasahkan badannya sahaja. Nanti, bila Azlin sudah berikan alamat rumah kawannya untuk dia tinggal. Barulah dia akan mandi dengan puas.
Usai solat zohor, Ara segera beredar dari situ. Dia tidak boleh berada di sesuatu tempat lama-lama. Dia harus segera bergerak.
Melihatkan restoran makanan segera KFC di hadapannya, terus sahaja dia bergerak masuk tanpa menoleh kiri dan kanan. Akibatnya, bahunya berlaga dengan seseorang, namun langsung tidak diendahkan. Apa yang paling penting untuknya adalah mengisi perutnya yang kosong.
Gadis yang dilanggarnya mengetap bibir. Perangai Ara yang dirasakan biadab itu membuatkan gadis itu benar-benar marah. Ikutkan hati mahu sahaja dia menyerang gadis itu, namun tugasan tengah hari itu membuatkan tindakannya terbantut.

BUNYI loceng di pintu biliknya membuatkan Rihan bergegas membuka pintu biliknya. Dia tahu wakil neneknya pasti sudah datang. Sempat dia mengerling jam pada dinding. 12.10 tengah hari! On time!
Kelibat gadis yang berusia pertengahan 20-an membuatkannya tersenyum. Sangkanya wakil neneknya yang bernama Zea itu seorang lelaki, rupanya seorang wanita. Rihan tersenyum sendiri.
Gadis itu memandang Rihan kosong. Sesuatu bermain di fikirannya.
Rihan mengerutkan dahi. Riak kosong pada wajah Zea buatkan dia terdiam.
Ermm, excuse me?” Rihan melayang-layangkan tangannya di hadapan gadis itu.
Gadis itu tersentak daripada lamunannya. “Maafkan saya.”
It’s okay. Jemput masuk,” pelawa Rihan. “Rihan.”
Zea.” Gadis itu memperkenalkan diri.
Rihan senyum kecil. “Duduklah. Saya nak bersiap dulu.”
Gadis itu tersenyum seraya separa menunduk. Dia mengambil tempat di meja makan.
Cik Rihan?” panggil Zea. Dia mahu memastikan sesuatu.
Yes,” balas Rihan. Dia segera memasang anting-anting di telinga. “Kenapa, Zea?”
Zea hanya diam. Kepalanya digeleng beberapa kali. Puas dia mengamati wajah Rihan. Ya, muka orang yang melanggarnya memang sama dengan Rihan cuma gadis itu berambut pendek dan bersikap kelelakian sementara Rihan berambut panjang.
Tak ada apa-apa.” Zea tidak jadi bertanya. Dia takut menyinggung perasaan Rihan.
So, how’s France? Madame Carissa Fleury apa khabar?” soal Zea, gugup. Carissa Fleury merupakan nama penuh Nenek Fleury.
Kenapa awak macam gugup dengan saya, Zea? France is okay. Nenek Fleury pun sihat.” Rihan sepertinya dapat mengesan kegugupan Zea.
Zea menggeleng laju.
Nervous?”
Zea pantas mengangguk laju.
Kenapa?”
Sebab first time jumpa gadis Perancis macam Cik Rihan. Rasa macam kena girl crush pulak. Cik Rihan cantik.”
Rihan tersenyum kecil. Pantas dia menutup kotak alat perhiasan dirinya. Saat itu, dia ternampak cincin tunangnya. Dia berkira-kira sama ada mahu memakai cincin itu.
Kalau tak ada apa-apa. Jom pergi,” ajak Rihan.
Dia segera mencapai beg bimbitnya. Dia malas mahu pakai cincin itu. Dia masih belum bersedia. Selama dua bulan menjadi tunang kepada Hazriq, dia tidak pernah memakai cincin itu. Tunang ke kalau mereka tak pernah berjumpa?
Zea mengangguk kecil. Dia bingkas bangkit dan mengikut Rihan keluar dari bilik itu.

PANDANGANNYA tertumpu pada violin yang dipamer di sebalik kaca kedai itu. Dia benar-benar ingin menyentuh dan menggesek violin itu. Sudah lama dia tidak memegang violin. Semuanya gara-gara papa melarang keras dia memiliki alat muzik itu.
Ara ingat lagi bagaimana reaksi papanya bila tahu dia terlibat dalam orkestra di kolej. Papa tanpa berfikir panjang terus sahaja menghentak violin miliknya ke lantai. Patah dua violin itu dibuatnya.
Bunyi mesej masuk ke dalam telefon pintarnya membuatkan dia tersenyum melihat nombor asing itu. Dia tahu itu nombor Azlin, sahabat baiknya. Mana tidaknya, sampai sahaja di KLCC, Ara terus menukar kad sim baru. Hanya Azlin yang ada nombor barunya itu.

Dear, ni alamat kawan aku. Kampung Laut. Kau ke sana tau.

Ara terus mengorak langkah. Belum sempat kembali ke surau tempat dia berteduh, matanya singgah pada kelibat lelaki-lelaki botak yang mengekori dirinya. Shoot! Ara terus bersembunyi di sebalik dinding. Macam mana lelaki botak itu dapat mencari dirinya sehingga ke situ?







No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<