Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : BAB 7



KERETA Myvi miliknya terus diparkirkan di halaman rumah. Dua jam perjalanan pulang ke kampung membuatkan badannya keletihan. Jam pada dashboard sudah menunjukkan jam 9.00 malam. Dia segera mematikan enjin keretanya. Sesudah enjin dimatikan, terus sahaja Aqif keluar dari kereta.
Baru sahaja mahu turun dari kereta, telinganya menangkap dengkuran halus. Aqif cuba mencari arah bunyi itu datang dan alangkah terperanjatnya dia saat terpandangkan seseorang sedang bersandar di belakang tempat duduk pemandu.
Aqif terus sahaja membuka pintu belakang tanpa menghiraukan gadis itu. Tergolek keluar Ara dari kereta.
Kau siapa? Macam mana kau boleh ada dalam kereta aku?” Terus Aqif menyoal. Tidak terdetik pun untuk membantu Ara bangun.
Saya...” Ara cepat-cepat bangun.
Aqif memandang Ara dari bawah ke atas berulang kali. Otaknya ligat memikirkan kehadiran Ara yang tiba-tiba. Macam mana gadis yang berpakaian lelaki itu boleh ada di dalam keretanya? Bila masa gadis itu masuk ke keretanya? Macam mana dia tak perasan gadis itu masuk ke dalam keretanya?
Apa kau nak daripada aku?” soal Aqif. “Kau nak mencuri ya?”
Dia benar-benar mencurigai Ara. Perwatakan Ara kelihatan seperti gadis yang lari dari rumah. Dengan rambut pendek dan bertopi. Sama ada gadis di hadapannya ini lari dari rumah atau budak-budak terbiar.
Tak. Tak. Saya tak ada niat nak mencuri pun. Saya... saya...” Ara cuba memberi penjelasan.
Mungkin kalau dia meminta tolong daripada lelaki di hadapannya itu, dia akan dihantar ke alamat yang Azlin berikan.
Saya nak ke alamat ni...” Ara meraba-raba poket seluarnya.
Riak mukanya berubah bila telefon pintarnya tidak ada di dalam poket. Ara menanggalkan beg galasnya. Semua baju di dalam beg dikeluarkan. Dia cuba mencari telefon pintarnya di dalam beg. Dia kaget. Telefonnya tidak berjaya dijumpai.
Bunyi engsel pintu kayu dibuka menarik perhatian mereka. Pandangan mereka beralih kepada kelibat seorang wanita tua. Wanita tua itu tersenyum kepada mereka.
Aqif, lewatnya kamu sampai?” Nek Mah segera menghampiri mereka. “Cepat masuk. Nenek dah masakkan makanan kegemaran kamu.”
Aqif segera mendapatkan Nek Mah. Tangan wanita tua itu disambut lalu pantas disalami Nek Mah.
Yang tu siapa pula?” soal Nek Mah saat terlihatkan Ara yang masih berdiri di sebelah kereta Aqif. “Tu kekasih kamu ke, Aqif?”
Aqif memandang Ara dengan pandangan pelik. Perempuan selekeh ni kekasih aku? Bila masa?
Ara tersenyum pahit. Dia pantas memasukkan semula baju-baju miliknya ke dalam beg galas.
Apa lagi yang kamu buat dekat bawah tu? Mari masuk rumah,” ajak Nek Mah. Pelik melihat Aqif tidak mahu menjemput teman wanitanya naik.
Tapi, nek...” Tak sempat Aqif nak menjawab.
Maaf, tapi aku tumpang rumah kau dua tiga hari ni.” Selamba Ara melangkah masuk ke dalam teratak kecil itu.
Dia terpaksa. Kalau dia tidak tinggal di situ, dia nak tinggal di mana? Telefon pintarnya pula sudah hilang. Macam mana dia mahu ke alamat yang Azlin berikan tadi?
Aqif mengerutkan dahinya. Eh, selamba betul minah ni!
Ara terus melangkah menaiki tangga teratak itu. Tangan Nek Mah ditarik untuk bersalam. Dia ingat lagi pesanan mak longnya, kena hormat dengan orang yang lebih tua.
Aqif melepaskan keluhan kasar. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku ketika itu. Walaupun begitu, dia tidak membantah. Dia terus naik ke rumah.
Nenek tak marah kalau kamu nak bawak teman wanita kamu ke rumah nenek. Kamu tu nenek dah anggap macam cucu kandung nenek. Mungkin dah tiba masanya kamu lupakan dia,” bisik Nek Mah saat Aqif menyalami tangannya.
Aqif terdiam mendengar kata-kata Nek Mah.
Nama kamu siapa, cu?” soal Nek Mah kepada Ara.
Ara.” Ara hanya memerhati lelaki bernama Aqif itu. Dia tahu lelaki itu sangat berang dengannya.

LAMPU bilik kecemasan masih belum padam. Secara tidak langsung memberi gambaran pembedahan masih belum berakhir. Rihan menggigil di luar bilik itu. Dia terlalu bimbang dengan keadaan Hazriq. Lelaki itu baru dikenali tak sampai satu hari, namun lelaki itu sudah terlantar di dalam bilik pembedahan demi menyelamatkannya.
Mana Hazriq?” soal seorang wanita lewat 40-an. Wanita itu kelihatan elegan mengenakan kelawar bermanik di leher.
Datin Nor.” Zea pantas menghampiri wanita itu.
Zea, apa yang jadi kepada Hazriq? Macam mana boleh jadi macam ni?” Bertubi-tubi soalan Datin Nor kepada Zea.
Aunty, saya minta maaf. Ni semua salah saya. Sebab saya, Hazriq...” Rihan terus meminta maaf. Dia langsung memandang ke tanah, tidak berani untuk bertentang mata dengan ibu Hazriq.
Datin Nor berpaling menghadap Rihan.
Rihan?” Datin Nor meminta kepastian.
Rihan menaikkan pandangannya.
Datin Nor tergamam bagaikan tidak percaya. Dia sama sekali tidak percaya bakal menantunya, Rihan, berada di hadapan matanya saat ini. Setahunya Rihan berada di Paris. Nenek Fleury juga tidak memberitahunya apa-apa.
Sebab nak selamatkan saya, Hazriq kena pukul sampai macam tu sekali. Saya minta maaf sangat-sangat, aunty.” Air mata Rihan mengalir laju.
Shhh...” Datin Nor cuba menghentikan tangisan Rihan.
Salah saya,” esak Rihan.
Rihan, apa yang berlaku ada hikmahnya. Aunty tak marah pun. Memang dah tertulis yang Hazriq akan selamatkan Rihan. Aunty tak boleh halang.” Datin Nor berfikiran positif. Tubuh kecil Rihan ditarik ke dalam pelukannya.
Semuanya salah saya!” Tangisan Rihan masih belum surut.
Rihan, listen to me.” Datin Nor memandang tepat ke mata gadis itu. “Everything happened for a reason. So, it’s not your fault. Okay?
Rihan diam tidak berkutik. Dalam fikirannya cuma mahu Hazriq selamat. Kalau apa-apa terjadi kepada Hazriq, dia tidak dapat memaafkan dirinya. Wanita itu sepatutnya menyerangnya kerana menyebabkan anak tunggalnya cedera, bukan menenangkannya. Dia benar-benar rasa bersalah.
Lampu bilik pembedahan terpadam. Seorang doktor keluar dari bilik tersebut. Datin Nor segera mendapatkan doktor tersebut.
Doktor, macam mana dengan anak saya?” soal Datin Nor.
Encik Hazriq mengalami pendarahan di bahagian kepala dan tangan kanannya cedera, tapi Datin jangan risau. Anak Datin sudah melepasi tahap kritikal.”
Alhamdulillah.” Datin Nor mengucapkan syukur.
Rihan menarik nafas lega.
Sebentar lagi kami akan pindahkan anak Datin ke wad,” ujar doktor tersebut seraya meninggalkan Datin Nor, Zea dan Rihan.
Mereka bertiga menadah tangan, berdoa sebagai tanda berterima kasih.
Rihan terduduk di kerusi hospital. Hatinya benar-benar lega dengan berita itu. Syukurlah, Hazriq selamat.





No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<