Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : BAB 9




ARA menemani Nek Mah membeli bahan mentah untuk dimasak tengah hari itu. Dia hanya membuntuti Nek Mah. Itu kali pertama dia pergi membeli barangan dapur. Selama ini, Mak Jah yang selalu ke pasar raya. Dia? Sibuk dengan kolej dan kelab orkestra hingga langsung tidak ambil peduli akan semua itu.
Ara tak suka makan udang?” soal Nek Mah.
Sengaja dia menyoal gadis itu. Semalam Ara cuma menyentuh sedikit sahaja sambal udang petai buatannya. Sentuh pun sekadar mengambil sambalnya sahaja.
Nek Mah terasa ke Ara makan sikit aje semalam?” soal Ara.
Bukannya dia tidak mahu, dia akui dia turut terliur, namun masakan dia dapat menjamah dengan banyak sekiranya dia ada alahan terhadap makanan itu.
Sebenarnya, Ara tak minat sangat makan makanan laut.” Ara cuba berdalih.
Oh, patutlah. Kenapa tak beritahu Nek Mah semalam? Mesti Ara lapar sepanjang malam tadi. Aqif pun satu. Bukan nak beritahu Nek Mah. Kalau Nek Mah tahu, Nek Mah masak lauk lain.”
Tak apalah, Nek Mah. Lagipun, semalam Ara kenyang. Tak lalu nak makan pun,” dalih Ara.
Tipulah kalau dia kata tidak lapar, tapi harus juga dia menipu. Tak sanggup rasanya mahu membebankan Nek Mah. Sudahlah hadirnya di rumah itu pun secara tiba-tiba. Ara sekadar tersenyum. Tangannya ligat menggaru lengannya. Terasa gatal. Malam tadi dia kegatalan yang amat.
Ara memandang sekeliling. Dia mahu mencari ubat alergi di farmasi. Ara tersenyum lebar saat terpandangkan kedai farmasi Cosway yang berada tidak jauh dari situ.
Ara makan ikan tak?” soal Nek Mah. Khuatir pula kalau Ara tidak boleh makan.
Boleh aje, Nek Mah,” ujar Ara. Dia tidak mahu memeningkan kepala Nek Mah.
Oh, nasib baik makan ikan.” Nek Mah tersenyum. “Bukannya apa, budak zaman sekarang ni tak suka makan ikan. Lagi suka makan ayam. Tu yang Nek Mah tanya, nanti tak pasal-pasal berlapar lagi.”
Jangan risau, Nek Mah. Ara makan aje ikan.”
Baguslah. Lagipun, kat sini ayam tak dapat sambutan sangat. Kat sini makanan laut aje yang banyak,” sambung Nek Mah lagi.
Nek Mah memeriksa barangan yang dibelinya satu per satu. Nek Mah tersenyum puas. “Okeylah, semua barang dah cukup. Mari kita balik.”
Baik, Nek Mah. Tapi, Nek Mah, kita singgah farmasi dulu boleh?” Ara meminta izin. Dia sudah tidak tahan lagi dengan kegatalannya itu.
Nek Mah mengangguk tanda setuju. Dia terus menuju ke farmasi bersama Ara, namun langkahnya terhenti. Dia terpandangkan kedai runcit yang terletak bersebelahan dengan farmasi itu.
Nek Mah ke kedai runcit sekejap. Nak cari botol sos. Boleh buat ikan masak merah nanti.” Nek Mah baru teringat bahawa sos cili di terataknya sudah pun habis.
Ara tersenyum kecil. Dia terus meninggalkan Nek Mah di kedai runcit itu. Baru sahaja dia berpaling, dia terlihatkan seseorang. Lelaki itu kelihatan segak memakai T-shirt Polo hitam dan berseluar jean biru. Dia cuba amati jejaka itu. Aiman!
Ara jadi tidak keruan. Aiman kelihatan sibuk dengan telefon pintarnya, Ara cepat-cepat masuk ke dalam kedai runcit itu. Dia cepat-cepat bersembunyi tatkala Aiman bergerak ke arahnya. Ara jadi panik. Dia terus capai surat khabar di sebelahnya lalu melindungi wajahnya. Macam mana Aiman boleh sampai sini? Dia ada letak tracking device ke dekat aku?
Kenapa Ara?” soal Nek Mah. “Ara nak beli surat khabar ni ke?”
Taklah. Jom kita balik sekarang,” ajak Ara seraya melangkah laju.
Niatnya mahu ke farmasi dibatalkan. Dia tidak mahu Aiman perasan kehadirannya di situ.

AIMAN berhenti melangkah. Wangian Enchanteur yang menyinggah derianya mirip Ara. Dia pantas menoleh. Kelihatan seorang lelaki berbaju biru dan berseluar jean melangkah jauh daripadanya. Aiman pantas menggeleng. Kenapa dari belakang, lelaki itu macam Ara? Mustahil itu Ara!
Bos, kami dah cuba cari Cik Ara dan lelaki tu, tapi tak berjaya,” ujar Black saat panggilannya bersambung.
Bodoh. Buat kerja macam ni pun tak boleh?” herdik Aiman.
Dia tidak mempedulikan orang sekeliling. Dia benar-benar marah dengan Black. Kerana orang suruhannya yang tidak tahu buat kerja, dia terpaksa pulang semula ke Malaysia. Paling teruk, kehilangan Ara sudah sampai ke telinga Datuk Muhammad Daniel. Dia sendiri tak menyangka akan ada yang membantu Ara melarikan diri. Kalau tak ada yang bantu, mustahil Ara boleh terlepas!
Bos, kami akan cuba lagi bos,” rayu Black. Dia hampir-hampir saja menangkap Ara, alih-alih gadis itu terlepas lagi.
Cuba! Cuba! Aku tak mahu cuba. Aku nak hasil. Aku bagi kau masa sampai hujung minggu ni. Kalau tak ada hasilnya, kau tahulah apa yang akan aku buat!” ugut Aiman seraya mematikan telefon bimbitnya.
Aiman mendengus kasar. Apalah yang susah sangat nak menangkap Farahana Farisya itu? Gadis itu bukannya kuat. Itu pun kemain susah nak ditangkap.
Bunyi deringan telefon pintarnya membuatkan dia pantas mendengus kasar. Nama si pemanggil membuatkan senyuman di bibirnya mula memekar.
Bro, kau dekat mana?” soal Zach, kawan Aiman. “Kita orang dah lama tunggu ni.”
Aku ada hal kejap. Nanti aku datang,” balas Aiman.

SETIBANYA di rumah, Nek Mah terus sahaja memberi salam. Mendengarkan salamnya tidak berbalas, Nek Mah melepaskan keluhan kecil. Ke mana sajalah cucunya yang seorang itu? Asyik menghilang sahaja.
Ara, duduklah dulu. Nek Mah nak ke dapur. Nak bersihkan ikan-ikan ni semua,” ujar Nek Mah.
Nek Mah menanggalkan seliparnya lalu menginjak naik ke atas rumah.
Ara pula leka memerhatikan keadaan sekeliling rumah. Semalam, dia sampai pun dah malam. Tak sempat nak melihat sekeliling. Keluar pula tergesa-gesa tadi. Sekaranglah peluangnya untuk melihat sekeliling.
Rumah Nek Mah tak ada bezanya dengan rumah kampung yang lain. Ada anak tangga batu dan di sisi tangga ada tertanamnya pokok bunga kertas, cuma rumah Nek Mah berdekatan dengan sawah.
Ara duduk di tepi tangga. Rasa tenang pula. Hilang segala bebanan dalam otak. Malah, kedudukan rumah yang terletak tidak jauh dari sawah buatkan dirinya bertambah tenang. Mana tidaknya, selama ini dia dibesarkan di bandar. Pertama kali dia menjejakkan kaki di kawasan kampung seperti ini. Terlupa seketika debar terserempak dengan Aiman sebentar tadi.
Sedang asyik melihat, Ara ternampak kelibat Aqif di pangkin. Jejaka itu kelihatan leka melakar sesuatu di atas buku lakaran. Ara mendekati Aqif perlahan-lahan. Dia mengintai senyap-senyap. Aqif sedang melukis seorang perempuan. Cantik perempuan itu. Persis seorang puteri dan wajah gadis itu ada iras wajahnya.
Siapa ni? Intan?” soal Ara ingin tahu.
Semalam, Nek Mah ada cerita kepadanya tentang Intan. Kata Nek Mah, Aqif pernah bertunang dengan seorang gadis bernama Intan. Gadis itu telah meninggal dunia kerana penyakit jantung berlubang di mana pembedahan pun tak dapat selamatkan gadis itu.
Aqif tersentak. Dia pantas menutup buku lakarannya.
Siapa yang kau lukis? Cantik. Macam puteri,” puji Ara.
Kau tak tahu apa-apa kau senyap. Kita ni pun bukannya kenal sangat sampai buatkan kau tu layak nak tanya. Kau tu datang dari mana entah, lepas tu sibuk nak tahu hal aku. Apa hal?” marah Aqif. Dia pantas menyarungkan selipar ke kaki lalu bergerak naik ke rumah.
Ara terpaku seketika. Terasa air mata bergenang di kelopak mata. Salahkah dia bertanya? Perlukah marah sehingga begitu sekali?
Aku tanya aje pun,” ujar Ara, perlahan.
Ara melabuhkan punggungnya di pangkin itu. Dia masih terasa dengan kata-kata Aqif. Ikutkan hati, dia mahu lari dari rumah itu. Tapi, kalau dia lari, ke mana lagi yang dia boleh pergi? Ara melemparkan pandangannya jauh ke tengah sawah. Sekadar merenung kosong. Memikirkan ke mana hala tuju hidupnya selepas ini.
Panggilan daripada Nek Mah membantutkan lamunannya. Ara segera menyahut. Selipar pantas disarungkan di kaki. Baru mahu melangkah, dia berundur kembali. Ara ternampak sebuah kotak kayu. Dia pantas menggapai kotak itu.
Kotak itu dibuka. Kelihatan satu patung kecil sedang menari di dalamnya. Kotak muzik milik siapa entah itu membuatkan Ara cepat-cepat menyimpannya. Dia suka kotak muzik itu. Lagu Blue Danube itu adalah lagu kegemarannya. Tanpa keizinan tuannya, terus sahaja Ara membawanya masuk ke dalam bilik.

AIMAN terus sahaja menuju ke meja yang terletak di hujung kedai. Di situ, Zach sudah menunggu.
So, apa hal kau nak jumpa aku sampai ke sini?” soal Aiman pelik.
Dia baru sahaja tiba di Malaysia, terus dapat panggilan daripada Zach untuk berjumpa. Kalau bukan mengenangkan Zach kawan rapatnya, memang tidaklah dia mahu pergi.
Relaks dulu, bro. Kau baru sampai kut. Ke kau ada hal nak buat? Kalau ada hal, tak apalah. Aku tak nak halang,” soal Zach. Risau pula.
Tak ada hal pun. Hal aku, aku dah serahkan dekat Black. Aku tak puas hati betul. Macam mana mereka boleh hilangkan Ara tu!”
Pandailah budak-budak tu cari si Ara tu. Ara tu perempuan. Lambat-laun jumpa juga. Kau jangan risau.” Zach berfikiran positif.
Hopefully. So, kau ada apa hal nak jumpa aku?” Aiman menyoal Zach semula. Matanya tajam memerhatikan Zach.
Aku ada problem sikit. Polis asyik buat serbuan dekat port yang selalu kita buat akiviti berlumba. Dah banyak hari ada serbuan. Aku pulak hari itu kalah dan aku pergi taruhkan duit hasil jualan dadah bos untuk race tu. Sekarang, bos kejar aku sebab aku guna duit tu. Kalau dah asyik kena serbu, macam mana aku nak dapatkan balik duit untuk bayar?” luah Zach.
La, sebab itu aje ke? Aku ingatkan sebab apalah tadi.”
Boleh tolong aku? Aku tahu kau aje yang boleh tolong aku. Aku tak tahu nak minta tolong siapa dah,” balas Zach.
Salahnya juga kerana berani bertaruh jumlah yang besar. Dia sendiri tidak menyangka dia akan kalah berlumba hari itu. Habis semua wang hasil jualan dadah milik bosnya digunakan untuk bertaruh. Hasilnya, dia diburu.
Okey, tak ada masalah. Nanti aku tolong kau, tapi aku tak boleh bagi sekali gus. Aku kena buat sikit-sikit. Nanti kalau aku buat sekali, orang tua tu perasan pulak,” ujar Aiman.
Walaupun dia sudah mendapat kepercayaan daripada Datuk Muhammad Daniel. Dia masih tetap tidak berani. Pasti pak ciknya akan bertanya banyak hal kalau dia tertangkap. Sebab itu dia perlu berkahwin dengan Ara. Hanya dengan cara itu dia dapat mengawal kesemua harta Datuk Muhammad Daniel.
Okey, tak ada masalah. Terima kasih Man sebab tolong aku.”
Hal kecil.” Aiman terus melihat makanan yang menghampiri mejanya. Melihatkan makanan laut itu, dia terus meneguk liurnya. Bau masakan itu membuatkan dia tidak sabar-sabar mahu menikmatinya.
Hi, dear. Sorry lambat.”
Kehadiran seorang gadis membuatkan Aiman tersentak. Aiman segera menoleh.
It’s okay, Sofea. Kita pun baru nak mula makan ni.” Zach sekadar tersenyum. Dia menjemput wanita itu duduk di sebelahnya.
Aiman memandang Zach, pelik. Dia sepertinya pernah jumpa dengan gadis itu.
Yang ni kawan aku, Sofea.” Zach terus memperkenalkan wanita itu kepada Aiman.
Aiman sekadar mengangguk kecil. Sofea! Ya, dia kenal gadis itu. Dia tak menyangka pula dia akan dapat berkenalan dengan gadis itu. Gadis itu merupakan adik kepada musuhnya. Musuh yang dikenali di Kenchana Holdings. Kerana lelaki itu, dia nyaris-nyaris dimalukan.
Dia kenal Sofea kerana dia pernah ternampak gadis itu keluar bersama-sama dengan musuhnya itu. Dan dia akan pastikan Sofea jatuh ke tangannya.


No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<