Followers

Saturday, August 6, 2016

CKET : PROLOG 1




MUHAMMAD DANIEL terus keluar dari kereta miliknya. Kakinya pantas melangkah masuk ke dalam hospital. Dia tercari-cari kelibat kakak tirinya, Mariam. Sebaik sahaja mata terpandangkan kakaknya itu, laju kakinya melangkah ke arah Mariam.
Kak, Leha macam mana?” soal Muhammad Daniel, panik. Matanya tajam merenung Mariam hinggakan Mariam terkedu seketika.
Daniel, kakak harap kamu sabar dengan apa yang kakak nak cakap ni,” ujar Mariam, tenang. Wajah adiknya itu diperhatikan tajam.
Muhammad Daniel terkedu. Dia tidak suka dengan kata-kata kakak tirinya itu. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang telah berlaku dan perkara itu bukan baik.
Tarik nafas dulu,” ujar Mariam.
Muhammad Daniel tetap akur. Dia tidak mahu membuat andaian awal. Dia pantas menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia cuba mengumpulkan semua kekuatan untuk mendengar perkhabaran yang entah kenapa dirasakan sukar untuk diterima.
Leha...” Mariam mengalihkan pandangannya. Tidak sanggup rasanya dia menatap mata adik tirinya itu.
Leha dah tak ada. Dia meninggal masa melahirkan anak kau.” Tersekat-sekat suara Mariam menyampaikan berita itu. Dia cuba menahan sebak.
Muhammad Daniel terduduk mendengar perkhabaran itu. Dia sama sekali tidak menyangka isteri yang sangat dicintai telah pergi meninggalkan dirinya untuk selamanya. Tiada lagi gelak tawa Zaleha. Tiada lagi insan yang akan menjaga makan dan minumnya. Tiada lagi tempat dia bermanja. Perasaannya kini bercampur baur hinggakan tanpa sedar air mata lelakinya gugur. Dia tewas. Dia menangis teresak-esak.
Anak saya, kak?” Muhammad Daniel teringatkan cahaya matanya. Dia pantas bangun daripada duduknya.
Mari ikut kakak.” Mariam segera membawa Muhammad Daniel ke bilik inkubator bayi.
Bayi adiknya itu lahir tidak cukup bulan. Jadi, bayi itu terpaksa ditempatkan di situ untuk pengawasan yang lebih teliti.
Muhammad Daniel tersenyum melihat bayinya. Wajah bayi perempuannya kelihatan tenang. “Mana lagi seorang?”
Riak muka Mariam berubah.
Mana lagi seorang, kak? Sepatutnya mereka berdua!” Muhammad Daniel cuba mencari seorang lagi bayinya.
Kalau ikutkan perkiraan doktor mereka semasa check-up dahulu, isterinya bakal melahirkan bayi kembar.
Mariam tidak berani memandang wajah adiknya.
Mana, kak?” soal Muhammad Daniel. Hatinya diusik perasaan tidak sedap hati.
Leha, mengalami komplikasi semasa mahu melahirkan anak kamu berdua. Seorang lagi tak sempat lahir. Dia lemas dalam kandungan,” jelas Mariam. Dia langsung tidak berani menatap wajah Muhammad Daniel.
Muhammad Daniel menggeleng kepala, tidak percaya. Dia bukan sahaja kehilangan isterinya, tapi dia juga kehilangan seorang lagi anaknya. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kalaulah dia pulang lebih awal, pasti dia tidak akan kehilangan isteri dan anaknya.
Daniel, bersabarlah. Apa yang berlaku ada hikmahnya.” Mariam mengusap lembut bahu adik tirinya itu.
Muhammad Daniel diam membungkam.
Kakak nak pergi daftar nama anak kamu. Apa nama yang kamu nak bagi?” tanya Mariam setelah dirasakan emosi Muhammad Daniel telah kembali stabil.
Muhammad Daniel menghela nafas panjang. Melihatkan wajah anaknya yang baru lahir itu, dia berazam. Anak itu akan dijaga dengan penuh kasih sayang. Dia mahu isterinya tahu, dia tidak akan sesekali menyalahkan takdir.
Daniel, kamu dah fikir ke nama untuk puteri kamu tu?” Mariam mengulang soalannya semula. Dia menyentuh lembut bahu adik tirinya itu. Muhammad Daniel dilihatkan jauh mengelamun.
Muhammad Daniel tersentak daripada lamunannya. Air mata yang mengalir segera diseka.
Farahana Farisya,” ujar Muhammad Daniel, perlahan.
Leha suka nama tu. Kami nak namakan anak kami, Farahana Farisya dan Farihana Farisya,” jelas Muhammad Daniel.
Tapi anak kamu...” Mariam berjeda.
Farahana Farisya. Itu nama anak saya,” tegas Muhammad Daniel.
Dia tidak mahu menyerabutkan otaknya lagi. Dia tidak peduli. Kalau Zaleha sudah berkata demikian, begitulah akan jadi. Puterinya tetap akan menggunakan nama yang telah mereka berdua rancangkan.
Mariam terdiam. Bila Muhammad Daniel sudah bertegas, dia sendiri tidak boleh buat apa-apa. Mungkin dengan menamakan bayi perempuan itu dengan nama pilihan arwah isteri adiknya dapat mengubati lara dan luka di hati jejaka itu.

No comments :

Post a Comment

>dah baca jangan lupa komen ya...
hope kengkawan suka dengan n3 nie...
komen dari kalian sedikit sebanyak memberi semangat untuk Hana terus post lagi<